Tuesday, November 3, 2009

PERPADUAN UMAT MELAYU


Malam tadi (3 Nov, ketika black out) YB Othman Jais bertemu ahli UMNO dan jemaah di Balai Raya TY. Isu-isu biasa dipaparkan dan diulang, khasnya jasa-jasa UMNO kepada orang Melayu dalam segala seginya. Perulangan seperti ini, kadang kala ok, namun kadang kala meloyakan pendengaran sahaja.

Tidak dinafikan banyak sumbangan UMNO kepada orang Melayu dan negara, namun itulah tugas hakiki sebagai pemerintah yang menyempurnakan pembangunan negara. Baik kerajaan Pas di Kelantan, Selangor dan kerajaan BN di Johor dan di mana juga adanya, pasti pembangunan itu dilaksanakan dengan seadanya sesuai dengan kewangan dan kebertanggungjawaban mereka kepada rakyat.

Ada perkara yang biasa disebut UMNO dan kalangan pemimpinnya; 'Kenangilah nikmat yang UMNO sediakan kepada rakyat.' Kenyataan ini ternyata semakin tawar pada pengundi dan pada rakyat marhain. Seperkara yang saya hendak betulkan, NIKMAT dan REZEKI hanyalah milik mutlak ALLAH, tidak sesuai digunakan istilah NIKMAT dan REZEKI disandarkan kepada manusia. Apabila mendengar ungkapan 'inilah NIKMAT yang UMNO sumbangkan kepada rakyat' saya amat tersentuh kerana ia tidak selayaknya menyamakan ALLAH pada kudrat dan kuasa manusia.

Diharap ia tidaklah berulang lagi.

Pada sesi soal jawab, En Ghani meminta unifom kompang untuk anak muda, dan kelihatannya UMNO perlu merebut peluang dalam pergolakan politik semasa untuk muncul ke depan sebagai parti yang hebat dan mendepani permasalahan ummah.

CIkgu Yusof Embut meminta diwujudkan sekolah berasrama penuh, hospital pakar dan bit polis di Taman Yayasan.

Saya mengulas tentang perpaduan Melayu, terhakis dan mengecilnya aset Melayu serta kerjasama UMNO dengan organisasi/ institusi setempat.

Apakah agenda perpaduan bangsa Melayu Islam yang dirangka dan dibentuk oleh UMNO? Apakah hala tuju parti ke arah melunakkan kesatuan umat Melayu. Bangsa ini memangnya terlalu taasub dengan kepartian, parti adalah darah daging mereka yang tidak boleh diusik dan diganggu. Parti bukan lagi sekadar wadah perjuangan, tetapi menjadi matlamat dan kemuncak perjuangan. Ini satu penetapan yang sukar hendak diubah.

Pada saya, perpaduan umat Melayu bukanlah bermakna parti A dan parti B disatukan atas satu parti (A + B = C), bukan juga soal mewujudkan Kerajaan Perpaduan itulah yang dinamakan BERSATU, tetapi pada ketetapan matlamat perjuangan, dasar kesatuan matlamat, kesatuan fikrah dan ke arah kesatuan hati yang perlu digariskan. Kepimpinan semua parti perlu menyemarakkan sifat keterbukaan kepada ahli parti mereka, menerima dan menyanjung perjuangan dan sumbangan parti lain dalam berbagai aspek yang selayaknya dihargai.

MCA dan DAP tidak pernah bercakaran dalam erti kata sebenarnya. Mereka wujud sebagai cabang untuk mendapatkan kepentingan bangsa CINA tanpa perlu dipertikaikan lagi. Kenapa perkara ini tidak nyata dilihat oleh orang Melayu, kenapa soal agama, soal bahasa, soal ekonomi, pendidikan dan semua masalah tidak dilihat dari sudut survival bangsa MElayu, sebaliknya dilihat; itu perjuangan parti pembangkang, itu perjuangan UMNO dan sebagainya.

Saya dambakan politik terhormat sebagaimana Demokrat dan Republikan berpolitik di Amerika. Kepartian hanyalah WADAH perjuangan, bukannya matlamat akhir yang hendak diutamakan. Maka di sinilah letaknya KEBIJAKSANAAN ahli politik dalam memandu ummah Melayu ke jalan yang benar dan diredhai Allah.

Sampai bila umat Melayu kekal dan terus terperangkap dengan alunan politik yang dibawa oleh UMNO dan PAS selama ini?