Tuesday, December 30, 2008

DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN

DOA AKHIR TAHUN DAN DOA AWAL TAHUN

Doa akhir tahun biasanya dibaca selepas solat Asar dan sebelum masuknya waktu Maghrib. Manakala doa awal tahun dibaca selepas solat Maghrib.

Amalan ini menjadi kelaziman kepada umat Islam di Malaysia, dan tentunya ia menjadi amalan mulia yang elok kita amalkan walaupun tiada hujah sahih mengenai amalan ini pada hayat Rasulullah dan para sahabat. Namun atas ‘kebaikan’ dan ‘hikmah’ yang terkandung pada amalan dan doa yang dibaca, ia ternyata suatu amalan yang mulia dan boleh diamalkan.

Doanya cukup mudah untuk kita ucapkan jika ia terungkap dalam bahasa Melayu, namun keghairahan kita berdoa menggunakan bahasa Arab, menjadikan doa ini semacam sukar dan ‘tidak tahu’ apa sebenarnya yang kita minta. Saya ringkaskan antara kandungan maksud doanya;

Doa Akhir Tahun:

“Ya Allah, kami bermohon pada apa yang kami lakukan sepanjang tahun ini sedangkan Engkau menegahnya dan belumpun kami memohon taubat kepada-Mu, maka ampunilah kami. Ya Allah kami bermohon pada amalan baik yang kami lakukan, sudilah Engkau menerimanya sebagai amalan soleh.”

Doa Awal Tahun:

“Ya Allah, kami bermohon agar Engkau peliharakan kami daripada gangguan syaitan dan kuncu-kuncunya, berlindung daripada nafsu durjana yang menjauhkan kami daripada Mu. Ya Allah kami bermohon berilah kami ketentuan yang baik yang mendekatkan kami kepada-Mu.”
Cuma haruslah diingat setiap doa perlu dimulakan dengan pujian kepada Allah (Alhamdulillah) dan selawat, diakhiri juga dengan selawat dan pujian kepada Allah. Selamat berdoa dan beramal.

No comments:

Post a Comment