Tuesday, November 3, 2009

PERPADUAN UMAT MELAYU


Malam tadi (3 Nov, ketika black out) YB Othman Jais bertemu ahli UMNO dan jemaah di Balai Raya TY. Isu-isu biasa dipaparkan dan diulang, khasnya jasa-jasa UMNO kepada orang Melayu dalam segala seginya. Perulangan seperti ini, kadang kala ok, namun kadang kala meloyakan pendengaran sahaja.

Tidak dinafikan banyak sumbangan UMNO kepada orang Melayu dan negara, namun itulah tugas hakiki sebagai pemerintah yang menyempurnakan pembangunan negara. Baik kerajaan Pas di Kelantan, Selangor dan kerajaan BN di Johor dan di mana juga adanya, pasti pembangunan itu dilaksanakan dengan seadanya sesuai dengan kewangan dan kebertanggungjawaban mereka kepada rakyat.

Ada perkara yang biasa disebut UMNO dan kalangan pemimpinnya; 'Kenangilah nikmat yang UMNO sediakan kepada rakyat.' Kenyataan ini ternyata semakin tawar pada pengundi dan pada rakyat marhain. Seperkara yang saya hendak betulkan, NIKMAT dan REZEKI hanyalah milik mutlak ALLAH, tidak sesuai digunakan istilah NIKMAT dan REZEKI disandarkan kepada manusia. Apabila mendengar ungkapan 'inilah NIKMAT yang UMNO sumbangkan kepada rakyat' saya amat tersentuh kerana ia tidak selayaknya menyamakan ALLAH pada kudrat dan kuasa manusia.

Diharap ia tidaklah berulang lagi.

Pada sesi soal jawab, En Ghani meminta unifom kompang untuk anak muda, dan kelihatannya UMNO perlu merebut peluang dalam pergolakan politik semasa untuk muncul ke depan sebagai parti yang hebat dan mendepani permasalahan ummah.

CIkgu Yusof Embut meminta diwujudkan sekolah berasrama penuh, hospital pakar dan bit polis di Taman Yayasan.

Saya mengulas tentang perpaduan Melayu, terhakis dan mengecilnya aset Melayu serta kerjasama UMNO dengan organisasi/ institusi setempat.

Apakah agenda perpaduan bangsa Melayu Islam yang dirangka dan dibentuk oleh UMNO? Apakah hala tuju parti ke arah melunakkan kesatuan umat Melayu. Bangsa ini memangnya terlalu taasub dengan kepartian, parti adalah darah daging mereka yang tidak boleh diusik dan diganggu. Parti bukan lagi sekadar wadah perjuangan, tetapi menjadi matlamat dan kemuncak perjuangan. Ini satu penetapan yang sukar hendak diubah.

Pada saya, perpaduan umat Melayu bukanlah bermakna parti A dan parti B disatukan atas satu parti (A + B = C), bukan juga soal mewujudkan Kerajaan Perpaduan itulah yang dinamakan BERSATU, tetapi pada ketetapan matlamat perjuangan, dasar kesatuan matlamat, kesatuan fikrah dan ke arah kesatuan hati yang perlu digariskan. Kepimpinan semua parti perlu menyemarakkan sifat keterbukaan kepada ahli parti mereka, menerima dan menyanjung perjuangan dan sumbangan parti lain dalam berbagai aspek yang selayaknya dihargai.

MCA dan DAP tidak pernah bercakaran dalam erti kata sebenarnya. Mereka wujud sebagai cabang untuk mendapatkan kepentingan bangsa CINA tanpa perlu dipertikaikan lagi. Kenapa perkara ini tidak nyata dilihat oleh orang Melayu, kenapa soal agama, soal bahasa, soal ekonomi, pendidikan dan semua masalah tidak dilihat dari sudut survival bangsa MElayu, sebaliknya dilihat; itu perjuangan parti pembangkang, itu perjuangan UMNO dan sebagainya.

Saya dambakan politik terhormat sebagaimana Demokrat dan Republikan berpolitik di Amerika. Kepartian hanyalah WADAH perjuangan, bukannya matlamat akhir yang hendak diutamakan. Maka di sinilah letaknya KEBIJAKSANAAN ahli politik dalam memandu ummah Melayu ke jalan yang benar dan diredhai Allah.

Sampai bila umat Melayu kekal dan terus terperangkap dengan alunan politik yang dibawa oleh UMNO dan PAS selama ini?

6 comments:

  1. Post kali ini cukup menarik walupun sebelum ini, article ustaz kurang bersifat politik. Politik tidak sewajarnya dipisahkan dengan agama. Setiap individu Melayu perlu berpolitik berlandaskan syariat Islam. Sekiranya semua yang terlibat dalam politik berbuat demikian, insyaallah tujuan dan objektif politik orang Melayu bukanlah kemenangan tetapi perjuangan mermartabatkan agama, bangsa,dan negara. Itulah cabaran ahli politik kini iaitu membuat satu anjakan paradigma dalam kalangan mereka dan seluruh Muslim agar berfikrah seperti demikian. "Politik untuk perjuangan bukan kemenangan". Article ini wajar untuk dimuatkan di dalam buletin surau bagi memberi kesedaran terhadap Muslim di Taman Yayasan khususnya, dan orang ramai amnya.

    ReplyDelete
  2. Yang Berbahagian Tuan Seagal, tuan menyatakan:

    "..Post kali ini cukup menarik walupun sebelum ini, article ustaz kurang bersifat politik. Politik tidak sewajarnya dipisahkan dengan agama...

    Unit amal pemuda PAS berbaring atas jalanraya menderhaka kpd Sultan Perak...itu ajaran agama atau politik?

    Nik Aziz ambil wang rasuah $65,000.00 seorang bersama dengan 9 lagi ahli keluarganya untuk hadiah pergi ke Mekah...itu ajaran agama atau politik?

    Nik Aziz melantik menantunya menjadi CEO dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan memanipulsai kewangan sesuka hatinya...itu ajaran agama atau politik?

    Kalau politik dan Islam itu disatukan...kita sebenarnya menghina agama Allah.

    Saya tidak setuju agama dan politik itu disatukan. Ianya mesti dipisahkan.

    Sebenarnya URUSAN politik dan URUSAN agama perlu dipisahkan. Yang perlu disatukan ialah niat seseorang itu berpolitik mestilah seiring dengan ajaran agamanya. Hanya 1 niat walaupun seribu komitmen. Itulah Islam.

    ReplyDelete
  3. Saya lupa nak ucapkan rasa kagum dan bangga dengan Jawatakuasa Surau al Muhajirin yang gigih menjalankan aktiviti surau.

    Teruskan usaha murni ini tanpa mencampuradukkan dengan URUSAN agama dengan URUSAN politik.

    Bagaimanapun perlu diingat, di Nalaysia ini, tanpa kuasa politik berada di tangan orang Islam, syiar Islam sangat sukar untuk ditingkatkan.

    Kuasa politik yang berada di tangan kita sekarang adalah nikmat Allah yang sangat berharga. Bersyukurlah nanti Allah akan tambah lagi, jika kufur nikmatNya, kita akan menghadapi azab yang amat pedih.

    Wallua'lam.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih kpd saudara Lintau Perak. Nama saudara amat cantik dan indah, saya kira itu nama samaran sekadar melindungkan diri daripada dikenal.

    Politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Rasulullah seorang ahli politik, sebab itu baginda berjuang untuk mendapatkan kuasa politik iaitu berkerjaan dan bernegara dan akhirnya terbentuklah negara Islam Madinah dan Baginda menjadi 'Presiden' negara berkenaan.

    Dengan kuasa, kita dapat menentukan dasar dan undang-undang, malah segala ketetapan apa pun tertakluk kepada kuasa politik; kuasa kerajaan. Seperti juga di Malaysia, kuasa pusat dan kuasa negeri ada ruang dan bidangnya tersendiri.

    Saya kira elok kalau saudara Lintau mengkaji buku-buku turath Islam seperti Al-Ahkam Sultaniah, al-Khasais Ammah Li Islam (Yusuf Qardawi) dan lain-lain yang membicarakan aspek politik dan kepimpinan negara. Islam bukan sahaja terletak pada solat dan puasa, malah negara dan kepimipinan yang disebut pada hari ini sebagai politik (as-syiasah).

    Komenter terdahulu baru sahaja saya bacanya. Pada saya, usah dicari kelemahan dan kebobrokan seseorang, kerana semua orang termaklum banyak kelemahan dan kekhilafannya, termasuklah orang politik; kerana kuasa itu ada di tangan mereka.

    Soal yang lebih utama ialah kita mencari jalan ke arah memperkasakan persefahaman dan perpaduan kalangan umat Melayu tanpa mengira soal perbedaan politik. Parti politik hanyalah jalan untuk mencapai matlamat yang utama; iaitu keredaan Allah. Allah redha dengan tugas dan sumbangan kita, maka itulah yang terbaik untuk kita persembahkan sebagai seorang hamba.

    salam perkenalan..

    (sebenarnya saya suka berkomunikasi dengan seseorang yang saya kenal...)

    ReplyDelete
  5. Terima kasih Ybhg Tuan Ahmad Nawawi Yaakob.

    Pandangan Tuan amat benar. Saya sangat bersetuju dan tiada kekeliruan.

    Cuma saya hanya menegaskan, masa kini ramai umat Islam yang memahami sesuatu perkara secara umum. Samada yg berkaitan agama, politik, sosial dan maslahah yg lain.

    Dalam hal politik dan agama saya tetap tidak bersetuju URUSAN nya dicampuradukkan.

    Contoh: Mendirikan solat jumaat adalah URUSAN agama. Membaca khutbah adalah URUSAN agama.
    Tetapi apabila mencaci pihak lain dalam khutbah, itu adalah URUSAN politik.

    Itulah maksud saya URUSAN politik dan URUSAN agama perlu dipisahkan. Oleh kerana politik adalah alat bukan matlamat maka NIAT hanya ada satu iaitu kerana Allah.

    Persoalannya boleh caci maki dalam khutbah itu diterima sebagai "kerana Allah"

    Rasulullah menerima wahyu di Mekah, tetapi negara Islam pertama didirikan adalah di Madinah. Ini bermakna kuasa politik diperlukan untuk membina daulah dan kuasa aqidah dari ajaran Islam menjadi faktor penyatuan.

    Saya dapati surau Tuan begitu aktif menjalankan aktiviti keagamaan. Sebabnya Allah kurniakan kita kesejahteraan dan peluang untuk mengembangkan syiar agamaNya. Semua ini kerana Allah kurniakan kita kestabilan politik yang perlu kita syukuri dan pertahankan.

    Maaf kalau kita tidak saling mengenali. Saya juga tidak mengenali Iman Syafie, Iman Hambali, Maliki dan ulamak agung yg lain. Tetapi saya mengenali mereka melalui tulisan dan pemikiran mereka.
    Saya mengenali Tuan seorang yang ikhlas dan berfikiran terbuka. Terima kasih dan maaf jua.

    ReplyDelete
  6. Ybhg Tuan Ahmad Nawawi Yaakob dan pembaca yang dimuliakan,

    Peristiwa Dr Hasan Ali membaca khutbah Jumaat politik di Mesjid menjelang PRK Hulu Selangor adalah contoh mengapa URUSAN agama dan URUSAN politik mesti dipisahkan.

    Yang tidak boleh dipisahkan ialah NIAT apabila melakukan sesuatu perkara.

    Sekiranya Dr Hasan sedar beliau adalah penganut agama Allah, maka niatnya akan memberi panduan kepadanya untuk melakukan apa yang dipanggil "kerana Allah (lillahita'ala" dan melarangnya daripada melakukan disebaliknya.

    Mencaci maki dan menyebarkan fakta dan maklumat yang tidak benar dalam khutbah jumaat bukan "lillahitaa'ala"
    Solat Jumaat adalah URUSAN agama Islam, menakala berkempen dalam khutbah adalah URUSAN politik.

    Wallahua'lam... dan maaf jua.

    ReplyDelete