Saturday, February 7, 2009

Aku mula rindu pada mu

Sepanjang hayat, aku tidak pernah ke sana. Kerap juga ternampak tanda jalan menuju ke situ. lantas, aku meminta Nurul membawa aku ke sana. Nurul kehairanan dan tanpa banyak soal memusingkan stereng membelok ke situ. Seperti seorang driver melayan perintah bossnya .Satu nama gah yang dikenali oleh pelosok rakyat Malaysia. Nama ini terpahat di kepala sejak aku kecil lagi. Dia ada sejarahnya tersendiri. Aku tanya Nurul, di mana studio dan pemancar radio? "Entah lah ayah, ada di kawasan rumah di sini agaknya", jawab Nurul ringkas.

Nurul teruskan perjalanan. Terdapat rumah tersergam di atas bukit. Wow, besarnya. Walaupun tidak dibina secara rupa bentuk moden cukup membuktikan kemewahan empunya. Bagaikan istana. Jalan dibuat berliku liku melalui taman sebelum sampai ke tangga rumah.

Rumah persekitarannya di diri kan di lereng bukit. Aku tidak pasti status tanah di situ. Hutan nya masih dara. Monyet berpesta di tong sampah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran. Monyet monyet menikmati sisa makanan yang dibuang oleh salah satu rumah yang baru selesai mengadakan majlis perkahwinan di situ.

Aku minta Nurul berhati hati. Terlalu banyak motosikal yang melalui jalan di situ. Kesemuanya memandu laju. Aku beritahu Nurul, kalau di Rengit, Batu Pahat, jika berlaku kemalangan, kenderaan yang melanggar penduduk dianggap bersalah. Walaupun yang melanggar kenderaan itu adalah penduduk. Pemandu akan di bantai dulu.

Tak kira tua, tak kira muda semua pemandu dan pembonceng motosikal tidak mengunakan topi keledar. Mereka juga tidak perlu berhenti di lampu trafik. Walaupun terletak dalam kawasan bandar raya. Saya fikir ini adalah zon eksklusif untuk mereka.
Deretan kedai semua peniaganya Melayu. Dari perniagaan elektrik hinggalah kepada perniagaan makanan. Perniagaan, seperti tiada bantuan dari mana mana pihak. Agak kurang juga bangsa asing yang lalu lalang di situ. Ada satu restoran yang agak unik. Kita biasa melihat R&R di bina di atas jejambat di lebuh raya. Restoran ini pula di bawah jejambat. Satu idea yang menarik. Ada kemudahan api dan air. Sayang, tidak ada pula kawasan parking. Ada juga gedung gedung besar di sana. Semuanya kepunyaan Melayu. Salah satu ialah "Mohfaz", syarikat pengedar kenderaan terbesar di negara ini. Nurul bekerja di sana.

Kawasan penempatan rumah juga tidak ada tanda bangsa asing. Jika di taman ini, di luar rumah sahaja kita boleh kenal samada rumah itu rumah melayu atau cina. Di sana kelihatan semuanya Melayu.

Tengahari, sekali lagi aku ke sana. Menantu kata makanan di restoran di situ sedap. Restoran terletak bersebelahan masjid. Masjid tidaklah begitu besar. Dilengkapi dengan penghawa dingin. Kubahnya di cacatkan dengan pacakkan pacakan alat pemancar komunikasi di sekelilingnya. Menutup lambang kebanggaan Islam. Walaupun ia merupakan sumber pendapatan agaknya. Urus lah dia dengan lebih bijaksana.

Restoran menyediakan kemewahan jenis lauk pauk. Harganya, amat berpatutan. Ada kemudahan WiFi di sediakan. Aku lihat, semua yang makan berpuas hati dengan kenikmatan makanan yang di sajikan. Sekali sekala terdengar jeritan kucing yang terpijak oleh pelanggan.

Sungai Penchala aku mula rindu pada mu. Bila aku akan ke sana lagi?

Ghani- Ada hati juga nak tenggok Pulau Kerimun.

No comments:

Post a Comment