Tuesday, July 27, 2010

GANTIKAN ALHAMDULILLAH PADA 'MUJUR' & 'BERNASIB BAIK'

Sering sahaja kita berkata; 'aku bernasib baik; mujur dia tak pergi; mujur tak hujan hari ini' dan rangkaian perkataan seumpamanya. Kata-kata ini tidak memberi apa-apa makna kepada orang Melayu kerana itulah bahasa orang Melayu yang dipakai hari-hari. Itulah lidah dan budaya orang Melayu.

Namun apabila diperhalusi, ada sesuatu yang tertinggal pada ungkapan kata seperti itu. Ia seakan menghilangkan 'kuasa Allah', Tuhan yang menentukan qada dan qadar alam buana ini. Kita percaya bahawa semua ketetapan, perlakuan dan peristiwa berlaku dengan izin-Nya jua.

"Tidaklah kamu merejam (atau melontar) ketika berlakunya perejamam itu, melainkan Akulah (Allah) yang merejamnya." (Al-Anfal: 17)

Perlakuan makhluk diizinkan berlaku atas ketetapan Khalik (Allah Pencipta). Namun manusia perlu bertindak, perlu berusaha untuk menentukan kejayaan dalam tindakannya. Mengatakan 'bernasib baik' atau 'mujur' perlu dinisbahkan dengan Allah SWT; maka tentulah yang terlebih baik digantikan dengan kalimah; ALHAMDULILLAH.

"ALHAMDULILLAH tak jadi hujan, Alhamdulillah dia tak pergi, Alhamdulillah dia bernasib baik (ataupun memadai, Alhamdulillah sahaja!)Alhamdulillah pada takdir Allah begitu dan begini.

(Ini antara kupasan saya dari ceramah Prof MKI yang saya dapat jelmakan di sini. Terima kasih Allah, terima kasih Prof dan terima kasih semua)

Wednesday, July 21, 2010

PROF DR HJ MUHD KAMIL IBRAHIM DI SURAU KITA

Insya-Allah, doakan semoga ia berjalan dengan lancar. Kita menjemput Prof MKI untuk berceramah di surau kita pada;

Hari Isnin (malam Selasa)
Selepas Solat Maghrib
26 Julai 2010

Bersempena dengan Ramadan yang akan datang, dengan himbauan rahmat dan kasih sayang Allah untuk kita lestarikan iman dan amal.

Temui Prof MKI, tokoh yang selalu muncul di Astro Awani, muncul juga di TV9 dan RTM, penulis buku best seller; Travellog Haji (500 ribu naskah terjual), dengan pendekatan baru untuk kita beramal.

*Jemaah dijemput membawa kuih sepiring untuk kita makan beramai-ramai.

Semua pelayar blog juga dijemput..

Tuesday, July 13, 2010

LADY GAGA, MARIAH CAREY & CELINE DION TURUT SOLAT BERJEMAAH

Menarik. Bukan sahaja jemaah biasa-biasa, malah Lady Gaga, Mariah Carey dan Celine Dion turut solat berjemaah di masjid dan surau. Bukan solat betul-betul, hanya kadang kala terdengar nada dering (handphone) artis berkenaan yang turut solat berjemaah.

Seronok pun ada, tak suka pun ada.. Bayangkan tengah kita solat; bersendirian atau berjemaah, tiba-tiba kedengaran bunyi lagu 'My heart will go on', alangkah tragisnya solat kita. Mahu diikutkan sama nyanyian lagunya atau mahu diteruskan bacaan yang sepatutnya dibaca? Atau barangkali baca dan ikut serentak! kan kita orang hebat!

Rumusannya, eloklah dimatikan handphone ketika masuk ke surau atau masjid, dan lebih baik kalau nada deringannya hanya yang biasa-biasa sahaja.. Kalau terbunyipun, tidaklah janggal sangat.. Manakan tidak Lady Gaga sedang solat berjemaah!

Wednesday, July 7, 2010

ISRAK MIKRAJ DI SURAU AL-MUHAJIRIN, TY

9 Julai 2010 (Jumaat malam Sabtu) akan kita adakan ceramah Israk Mikraj dan menjemput Ustaz Mohd Zainudin Mustafa (UiTM) sebagai penceramah. Majlis ini ringkas sahaja, selepas Maghrib diadakan ceramah. Dan makan-makan selepas Isyak.

Seperti tahun-tahun lalu, kita buat nasi ambeng ala Taman Yayasan. Lauk pauk dimasak di rumah masing-masing; ada yang masak sayur, ada yang sediakan ayam, ada yang sediakan serunding dan berbagai lagi. Lalu di bawa ke surau dan dimakan beramai-ramai. Meriah jadinya.

Namun kali ini kemeriahannya berganda. Manakan tidak, dari program yang simple berubah menjadi majlis besar. Ada hamba Allah yang sudi memberikan dua ekor kambing untuk dimasak. Nampak gaya Ayahanda Hj Khalid sudahpun bersedia untuk memasak rendang kambing yang akan dimakan dengan nasi ambeng.

Itulah rezeki, itulah ketentuan Allah. Percayakah kita?

Dijemput ahli jemaah, ahli kariah surau al-Muhajirin ke majlis ini. Datanglah bersama ahli keluarga. Rakan pembaca blog juga dijemput hadir dan menikmati juadah kami..