Wednesday, September 16, 2009

SALAM AIDIL FITRI: MAAF ZAHIR DAN BATIN

Salam Aidil Fitri dan maaf zahir batin kepada seluruh pengunjung blog ini, kepada jemaah surau Al-Muhajirin dan muslimin muslimat. Bagi pihak AJK Surau, kami bermohon ampun maaf atas salah dan silap.

Doakan semoga surau kita akan terus cemerlang, makmur dan diimarahkan sepanjang masa.

Berhati-hati di jalan raya dan semoga selamat dalam perjalanan.

TADARUS RAKAN MUDA 16-17 SEPT 2009





Penyertaan seramai 45 orang peserta menunjukkan program seperti ini telah mendapat tempat kalangan remaja. Sejak beberapa tahun lalu, surau kita berjaya menganjurkan program seperti ini dan sambutan anak-anak muda begitu baik. Syukur.

Kali ini sambutan begitu menggalakkan walaupun promosi tidak seberapa (AJK asyik sibuk je) dan ramai anak-anak kompang yang terlibat. Saya menugaskan mereka membaca juzuk ke 30 sahaja dengan saling membimbing antara satu sama lain.
Pihak surau juga menyediakan duit raya kepada peserta (ada 2 orang peserta dari Bukit Siput) dengan buget tidak kurang RM400.00. Tahniah dan terima kasih kepada AJK terlibat yang membantu.

Monday, September 14, 2009

CUCU SULUNG EN. GHANI

Malam tadi (14 Sept, jam 11pm) Nurul selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital Putrajaya. Tahniah kepada En Ghani kerana mendapat cucu pertamanya. Sebelum ini dia kelihatan sibuk mengemas rumah dan menyediakan kelengkapan bayi (terserempak Kak Hasnah beli kain batik di pasar malam TY) yang dijangka lahirnya 2 hari selepas raya.

Tapi itulah ketentuan Allah, bayi kecil ini mahu difitrahkan juga oleh bapanya.. (Bayar fitrah tau..) Semoga Nurul bertambah bahagia dengan kelahiran cahamata ini, dan En Ghani tentunya makin berat untuk berpanjangan berada di Batu Pahat.. Betul tak Sdr Rizal?

Tahniah daripada kami di Surau Al-Muhajirin.
(Nak kena masukkan foto bayi kecil tu..)

LAGI FOTO KHATAM AL-QURAN





Beberapa keping lagi foto majlis Khatam Al-Quran di surau. (12 Sept 2009)

Sunday, September 13, 2009

MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN IFTAR 2009





Majlis ini diadakan pada 12 Sept lalu dengan sambutan meriah daripada jemaah. Aktiviti rewang bermula jam 10 pagi dengan juadah istimewa, itik masak rendang. Sebanyak 50 ekor itik disumbangkan Hj Husin Kg Kadut untuk jamuan kali ini. Inilah pengalaman pertama menangkap itik, sembelih, memproses (cabut bulu) dan memasaknya. Ramai yang teruja.
Selain itik, ayam masak kicap, rebung lemak daging, ulaman dan cencaluk Melaka menghiasi hidangan berbuka kali ini. Tukang masak kita, Pak Rahman dibantu Haji Khalid, Haji Hasan, Dasli, Razak, Talib, Samsuri dan ramai lagi memang berbaloi dengan keenakan rasa secukupnya.
Ramai juga yang membantu termasuklah jemaah baru seperti En Khairul, En Bahrin dan kaum ibu. En Hazari (Bob) walaupun jauh dari Taman Seruling, sanggup berpagi dan berpetang di sini merewang. Itulah hebatnya kerjasama jemaah di sini. Alhamdulillah.
Majlis Khatam dihadiri jemputan Kadut (ImamTaufiq), Imam Hj Hashim (Sulir), Cikgu Khidir (Bumbum), Hj Muhid Kasiran (Teluk Kelubi), dan ramai yang lain termasuklah anak-anak. Surau juga menyediakan sumbangan fakir miskin terpilih di TY, selain memberi elaun kepada kakitangan surau (Lumayan sebenarnya elaun ni).
Berbuka puasa nampak meriah lebih-lebih lagi orang jauh turut serta seperti Cikgu Arifin Topandi bersama keluarga yang turut bertarawih berimamkan Ustaz Nawawi.

Thursday, September 10, 2009

PENGHUJUNG RAMADAN

PENGHUJUNG RAMADAN

Rebutlah peluang di penghujung Ramadan ini dengan melipatgandakan amal ibadah kita. Perbanyakkanlah doa, sedekah, zikir, tilawah al-Quran, solat malam dan amalan lain.

Kesibukan dengan persediaan menyambut Aidil Fitri tidak seharusnya menenggelamkan ibadah sunat kita. Teruskanlah solat tarawih sehingga ke akhir Ramadan, usah ditangguhkan barang sehari kerana tarawih tiada boleh diganti dengan solat-solat yang lain.

Alangkah baiknya pada penghujung Ramadan ini, surau kita kekal penuh dengan limpahan jemaah. Alangkah indahnya jika penghujung Ramadan ini, suara tadarus dan qiam dijalankan sepanjang malam, baik di surau mahupun di rumah.

Hanya mereka yang menikmati dan menghayati Ramadan akan merasai kemanisan dan keindahan beribadah di bulan ini. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang diterima Allah akan amal bakti.

Carilah Lailatul Qadr pada penghujung Ramadan, malam yang menjanjikan ganjaran pahala tidak terhitung nilainya, malam yang diperkenankan segala doa dan hajat, malam yang dilingkungi malaikat rahmat dan keampunan.

Wednesday, September 9, 2009

JUALAN DAGING LEMBU AIDIL FITRI (KOPERASI SURAU)

Koperasi Masjid Al-Muhajirin mengadakan tempahan dan jualan daging lembu sempena Aidil Fitri ini dengan harga RM19.00 sekilo. Tempahan boleh dibuat pada buku catatan yang disediakan di surau.

Daging akan diedarkan pada hari Jumaat 18 September 2009 bermula jam 10.00 pagi.

Bersama kita jayakan aktiviti sulung koperasi kita.

(Borang keahlian dan pelaburan Koperasi juga telah diedar dan sila kembalikan borang bersama caruman dengan kadar segera kepada Bendahari Koperasi, Cikgu Haji Norashikin Mohamad)

MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN BERBUKA PUASA

Majlis Khatam Al-Quran akan diadakan di surau Al-Muhajirin, Taman Yayasan Segamat pada 12 September 2009 (Sabtu) bermula jam 5.30 petang.

Atur cara majlis:

5.30 Ketibaan jemaah
5.40 Majlis Khatam dan tahlil
Penyampaian hadiah dan sumbangan fakir miskin
7.12 Berbuka Puasa
Solat Maghrib
Jamuan Nasi

Dengar khabarnya, jamuan nasi kali ini menarik sekali; ada ayam, rebung dan babat, itik masak kicap dan lain-lain.

Semua jemaah dan warga muslim dijemput menyertai program ini. Bawalah ahli keluarga berbuka puasa bersama-sama di surau kita.

LAGI GAMBAR TADARUS


Majlis seperti ini seharusnya diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada masyarakat dan jemaah setempat menyempurnakan ibadah pada bulan yang mulia ini. Salam Ramadan.

TADARUS GURU AGAMA ZON 3 SEGAMAT







Tadarus ini diadakan di Surau al-Muhajirin pada Ahad 6 Sept lalu dan seramai 30 orang guru agama hadir menyempurnakan tadarus dan khatam al-Quran.

Monday, September 7, 2009

RAMADAN INI SURAU KITA MERIAH





Sambutan jemaah bertambah meriah dengan kedatangan Ramadan. Ramai yang memenuhi saf solat tarawih dan diiringi makan-makan (moreg) selepas solat.