Tuesday, December 30, 2008

BUBUR ASYURA DI SURAU AL-MUHAJIRIN TY

BUBUR ASYURA

Surau kita akan menyediakan bubur asyura pada 10 Muharam 1430 (Rabu, 7 Jan 2009) bermula jam 5.00 petang. Sesiapa yang berkelapangan dijemput untuk membantu masak memasak yang dikendalikan dari awal pagi. Diharap Ayahanda Haji Khalid dapat menguruskan hal ini untuk sekian kalinya. Terima kasih Ayahanda!

MAJLIS DOA AKHRI TAHUN DI SURAU

DOA AKHIR TAHUN & AWAL TAHUN

Surau Al-Muhajirin, TY akan mengadakan majlis doa ini pada hari Ahad 28 Disember 2008 bermula jam 6.30 petang. Tuan puan dan ahli keluarga dijemput hadir mengikuti program ini.

Marilah kita bersama-sama beramal sedikit sebanyak sebelum tiba ajal yang tidak pasti.(Jemaah dipersilakan membawa sedikit juadah untuk dimakan bersama selepas Maghrib). Apa yang penting kelapangan tuan puan menyertai majlis berkenaan.

Program ini berjalan lancar. Maaf saya tidak ada bersama kerana bercuti di kampung, tetapi menurut En Ghani melalui SMSnya; 'Amat memeranjatkan. Satu rekod baru untuk majlis tahun baru. Jemaah hingga lima saf termasuk kanak-kanak. Perubahan yang positif. Perempuan berkurangan." (28 Dis 08, 2355)

kempen yang En Ghani jalankan nampak berhasil; antara kandungan SMSnya yang dikirim kepada jemaah; 'Ptg ini bacaan doa akhir/ awal tahun. yang datang awal akan diberikan tempat paling hadapan. Jangan lepaskan peluang. Beri tahu anak, isteri dan rakan-rakan...

KEJOHANAN BOWLING AL-MUHAJIRIN

KEJOHANAN BOWLING SURAU AL-MUHAJIRIN

Buat julung kalinya, Surau Al-Muhajirin TY menganjurkan Kejohanan Bowling Al-Muhajirin 2008 pada 24 Disember lalu di Segamat Bowl. Program disertai 35 ahli jemaah surau, dari kalangan jemaah yang muda hingga yang bergelar ’datuk’, turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga yang memberi sokongan.

Riuh rendah jadinya melihat berbagai aksi menarik, termasuklah bola-bola yang jatuh ke parit dan sorakan kegembiraan mendapat strike. Ramai ahli jemaah yang baru kali pertama memegang bola bowling seberat 8 – 14 kg, termasuklah Ayahanda Haji Khalid juga turut mengambil bahagian. Bayangkan yang melontar bowling itu ialah pak imam, pak bilal, noja, pengerusi surau, dan yang sudah pencen, gamat jadinya. (Saya juga terfikir, kalau sendiri-sendiri nak datang sini, minta maaflah). Syabas.

Program yang bermula 9.30 malam hanya berakhir jam 1.30 pagi telah menobatkan Sdr Khairul Asyraf sebagai juara. Hadiah Juri bagi kategori Juara Memarit (yang paling banyak jatuh parit) juga disediakan, dan ada pemenangnya.. Rahsia tau!

Apa yang penting ialah program seumpama ini telah merapatkan ikatan silaturahim kalangan jemaah serta keluarga. Malah ia menarik minat sebahagian jemaah yang tidak pernah bermain, dan secara langsung menambah bilangan jemaah di surau.

Cetusan idea Cikgu Haji Yusof menjadi realiti dan meletakkan surau al-Muhajirin as the first masjid organized the bowling tournament at Segamat Bowl! Sekalung tahniah kepada Cikgu Yusof dan Cikgu Norashikin yang menjadi tulang belakang penganjuran pertandingan ini, dan tentunya ramai yang teruja ke Segamat Bowl.

Dalam pada itu, kaum ibu (wanita) pula ada yang sudah bertanya, bila pula akan dianjurkan program bowling untuk mereka.. Itu kena tanya Cikgu Yusof le. Dia kan dah jadi ’imam bowling’.

SALAM MAAL HIJRAH 1430..

SALAM MAAL HIJRAH 1430

Salam Maal Hijrah 1430 kepada semua pembaca. Tahun baru hijrah menjengah lagi tanpa kita sedar; yang menggambarkan begitu pantas masa berlalu. Apa yang istimewanya Maal Hijrah kepada umat Islam selain mendapat sehari cuti rehat. Cuba kita fikirkan sejenak.

Kepada pemimpin tertinggi negara dan kaki tangan dari pejabat agama, mereka akan menghadiri tugas rasmi iaitu berarak dan mendengar ceramah agama. Pergi kerana ia adalah sebahagian tugas rasmi yang perlu disempurnakan. Kepada orang tertentu yang diraikan baik di peringkat negeri atau negara, acara sambutan Maal Hijrah diiringi dengan pengiktirafan Tokoh Maal Hijrah, secara tahunan. Sumbangan tokoh berkenaan, khasnya dalam bidang agama dan kemasyarakatan akan dinukilkan oleh media tempatan.

Di negeri Johor akan diadakan pula pemilihan masjid dan surau cemerlang; memberi pengiktirafan kepada masjid yang terbukti menyumbangkan khidmat kepada komuniti setempat. Namun, secara amnya, apakah signifikannya Maal Hijrah kepada kita?

Maal Hijrah disambut kerana mengenangkan sejarah perulangan perjuangan Baginda Muhammad s.a.w khasnya peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah membawa makna besar kepada kedaulatan dan kenegaraan Islam mutlak yang diasaskan oleh Baginda s.a.w.

Maal hijrah seharusnya menjadi pemangkin perubahan dalam diri kita ke arah mendaulatkan negara Islam dalam negara. Pendaulatan Islam dalam negara bermula dengan pengislahan dalam masyarakat (komuniti) dan ia berpunca dari pengislahan dalam keluarga, khasnya individu itu sendiri. Noktah awal mendaulatkan negara Islam bermula dengan setiap individu yang berada di dalam sesebuah rumah; yang dikembangkan kepada komuniti setempatnya dan membawa perubahan dalam negara.

Ringkasnya, Maal Hijrah membawa mesej besar kepada umat Islam ke arah membina sebuah negara Islam sebagai kewajipan kita dalam mentaati perintah Allah. Daulah Islam yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah; dan penjenamaan daulah Islam itu sebenarnya bermula dengan diri kita sendiri.

DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN

DOA AKHIR TAHUN DAN DOA AWAL TAHUN

Doa akhir tahun biasanya dibaca selepas solat Asar dan sebelum masuknya waktu Maghrib. Manakala doa awal tahun dibaca selepas solat Maghrib.

Amalan ini menjadi kelaziman kepada umat Islam di Malaysia, dan tentunya ia menjadi amalan mulia yang elok kita amalkan walaupun tiada hujah sahih mengenai amalan ini pada hayat Rasulullah dan para sahabat. Namun atas ‘kebaikan’ dan ‘hikmah’ yang terkandung pada amalan dan doa yang dibaca, ia ternyata suatu amalan yang mulia dan boleh diamalkan.

Doanya cukup mudah untuk kita ucapkan jika ia terungkap dalam bahasa Melayu, namun keghairahan kita berdoa menggunakan bahasa Arab, menjadikan doa ini semacam sukar dan ‘tidak tahu’ apa sebenarnya yang kita minta. Saya ringkaskan antara kandungan maksud doanya;

Doa Akhir Tahun:

“Ya Allah, kami bermohon pada apa yang kami lakukan sepanjang tahun ini sedangkan Engkau menegahnya dan belumpun kami memohon taubat kepada-Mu, maka ampunilah kami. Ya Allah kami bermohon pada amalan baik yang kami lakukan, sudilah Engkau menerimanya sebagai amalan soleh.”

Doa Awal Tahun:

“Ya Allah, kami bermohon agar Engkau peliharakan kami daripada gangguan syaitan dan kuncu-kuncunya, berlindung daripada nafsu durjana yang menjauhkan kami daripada Mu. Ya Allah kami bermohon berilah kami ketentuan yang baik yang mendekatkan kami kepada-Mu.”
Cuma haruslah diingat setiap doa perlu dimulakan dengan pujian kepada Allah (Alhamdulillah) dan selawat, diakhiri juga dengan selawat dan pujian kepada Allah. Selamat berdoa dan beramal.

Thursday, December 25, 2008

hadiah-hadiah

Barisan jemaah surau dan hadiah yang kami dapat









beberapa foto hadiah..

lagi.. hadiah












Hadiah pun disampaikan Cikgu Ramlee kepada pemenang... semuanya jadi pemenang..

Aksi-aksi lagi











ada juga yang kerja part time tolong susun bola... (Ibrahim, anak saya ni..)
Memang berbaloi main 3 frame..

Aksi

cikgu Ramlee.. yang baru balik haji minggu lalu..
Asyik jatuh parit je.. apa leh bola ini yang tak betul tu.. tak betul-betul bulat




Aksi menarik peserta amatur.






Antara keluarga yang hadir memberi sokongan moral



Begini caranya nak main.. terang Cikgu Yusof, Ketua Kontigen Al-Muhajirin.

BOWLING AL-MUHAJIRIN TY 2008


Hadiah berupa tropi bowling yang cantik.. hadiah Johan Marit pun ada..


Idea ini lahir spontan apabila Cikgu Yusof mencadangkan untuk bermain bowling. Lalu saya pun menulis di papan putih beberapa maklumat utama yang perlu... dan bermulalah usaha ke arah menjayakan kejohanan ini yang dilangsungkan pada 24 Dis 2008 di Segamat Bowl.

Monday, December 22, 2008

BLOG AL-MUHAJIRIN

Blog ini mengisi bahan berkaitan surau Al-Muhajirin Taman Yayasan, Segamat, Johor.