Thursday, December 23, 2010

SESUKAR MANA MAHU MENGURUS KEJAYAAN SURAU?


Tidak terlalu sukar untuk mengurus sebuah surau dengan jemaahnya dalam lingkungan 400 - 500 orang. saling bekerjasama dan tidak membenci, iri hati dan cemburu menjadi asas dalam pengurusan sebuah masjid.

Jemaah suka kepada imam yang baik, saling hormat menghormati. Jemaah suka kepada Pengerusi dan pengurusan masjid yang ceria, terbuka dan telus. Jemaah mahu lihat berbagai aktiviti dianjurjayakan setiap bulan, setiap minggu.

Seperkara lagi, binalah kemesraan hubungan dalam kalangan jemaah. Saling bersapa dan bertanya khabar; baik yang muda mahupun yang tua. Kemesraan hubungan sesama kita membantu untuk mengimarahkan surau. percayalah, jemaah yang datang ke surau bukan kerana mahu solat semata-mata, mereka mahukan rakan dan kawan, mereka mahukan keindahan dalam perhunungan dan mereka mengharapkan keredaan Tuhan.

Saya percaya, jika semua jemaah saling menghargai (berikan senyuman dan bersalaman, bertanya khabar dan usik mengusik) jemaah berkenaan akan terus melekat di hatinya. Inilah tempatku! Usah diperkecilkan setiap jemaah yang datang ke surau. Masing-masing ada kelebihannya tersendiri.

(Foto; komentar seorang AJK lama yang pernah bertugas di TY. Saya tidak sempat bertemunya pada waktu itu)

Monday, November 15, 2010

SALAM AIDIL ADHA

SALAM AIDIL ADHA kepada semua jemaah dan pengunjung blog ini. Tingkatkan amal dan pengorbanan kita, moga sesuci Ibrahim dalam pengorbanan yang kita lakukan pada hari ini.. salam pengorbanan buat semua.

Thursday, November 4, 2010

KORBAN TAHUN INI..

Surau kita akan berkorban pada tahun ini dengan lapan ekor lembu.

Sidang jemaah dijemput hadir ke surau. Bergotong royong menyembelih, melapah dan mengagihkan daging berkenaan.

* Jemaah haji kita tahun ini kehujanan lebat di Mekah.. Semoga Allah anugerahkan kepada mereka haji yang mabrur, khasnya kepada En Ghani dan Puan Hasnah.

Friday, September 24, 2010

MARHABAN..



Marhabanpun bermula

Thursday, September 2, 2010

FOTO KHATAM QURAN DI SURAU





Majlis Khatam al-Quran dan berbuka puasa Surau Al-Muhajirin diadakan pada 28 Ogos lalu. Sambutan agak meriah dan tentunya makanannya sedap lagi enak.

Monday, August 23, 2010

MAJLIS KHATAM AL-QURAN

MAJLIS KHATAM AL-QURAN di surau kita akan diadakan pada hari Sabtu 28 Ogos 2010. Rewang memasak bermula dari awal pagi dan (makan tengah hari disediakan, he he)..

Kita sediakan nasi putih dengan lauk pauk ala kampung. Cencaluk dan sambal tentunya ada, masak lemak labu, kari daging dan ayam goreng berempah menjadi hidangan berbuka puasa.

Agenda majlisnya;

5.30 Khatam al-Quran dan doa/ tahlil

6.45 Penyampaian sumbangan kepada fakir miskin/ waris yang kematian/ elaun kepada imam, bilal, noja dan AJK surau

7.18 Berbuka puasa - makan ringan dulu

Solat Maghrib berjemaah

Makan malam...

Solat Isyak

Terawih dan bersurai..

SEMUA JEMAAH DAN AHLI KELUARGA DIJEMPUT BERBUKA PUASA DI SURAU KITA.

MAKLUMKAN KEPADA RAKAN DAN JIRAN TERDEKAT UNTUK MENGIMARAHKAN IBADAH DI BULAN RAMADAN.

MOREY BUBUR LAMBUK

Malam tadi giliran saya, Aslahudin, Kamal Najmi dan Ayub Jantan membawa juadah morey. Kami memasak bubur lambuk dengan tajaan Kamal Najmi menggunakan resepi Johor petua daripada Puan Maznah. Daun selasih kami dapatkan daripada Ayahanda Haji Khalid dan ada pula seseorang yang menghantar di depan pintu.. Rupanya Puan Farah ibu kepada Allahyarham Firdaus. Terima kasih.

Sempat juga kami agih-agihkan kepada rakan-rakan untuk juadah berbuka. Lama benar amalan bersedekah seperti ini kita panjangkan.

Encik Aslahuddin/Puan Maznah menyediakan juadah lontong dan YB Ayub (Pak Ayub) menyediakan pulut panggang. Itu menu utama morey di surau.

Malah banyak lagi kuih muih yang disedekahkan daripada pasar malam di Taman Yayasan yang boleh menjadi juadah kami. Nampak gaya surau kita berlebihan makanan pada setiap malam. Buah rambutan dan langsat sentiasa ada di atas meja. Syukur.

Tuesday, August 10, 2010

GOTONG ROYONG DI SURAU AHAD 8 OGOS

Ramai juga yang bergotong royong mendirikan khemah, membersihkan surau dalam dan luarnya, menggantung banner dan sebagainya. Yang cuci cermin tu Dr. Bazlan, yang cuci aircond En Wan Zul, Pegawai ukur Segamat, yang lain-lain tu semuanya orang hebat-hebat..

Soal gotong royong tak timbul isu siapa besar siapa kecil. Kita serupa. Dan tentunya serupa di sisi Allah atas apa jua kelebihan yang DIA anugerahkan.

Friday, August 6, 2010

SELAMAT BERPUASA

RAMADAN tiba lagi dengan membawa penuh keberkatan.

Sempena Ramadan ini, Koperasi Surau akan mengadakan jualan daging lembu RM18 sekilo. Sila tempah dan buat pembayarannya di surau sekarang. Hari Selasa nanti akan diedarkan daging berkenaan di surau, selepas Zohor.

Gotong royong membersihkan surau akan diadakan pada hari Ahad (8 Ogos) bermula jam 8.30 pagi. Khemah akan didirikan untuk kemudahan morey.

Giliran membawa juadah morey telahpun diedarkan. Kepada mereka yang tiada nama dalam senarai, bolehlah membawa bekalan pada bila-bila masa yang sesuai. Tak apa sekadar menyumbang ala kadarnya.

Giliran bertugas imam dan para bilal juga telah diedarkan. Boleh dirujuk pada papan kenyataan.

SALAM RAMADAN UNTUK SEMUA JEMAAH.

Tuesday, August 3, 2010

KEPTAN DATANG BERTAHLIL




Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah (Pendidikan) Cawangan Segamat mengadakan majlis Yasin dan tahlil di surau kita pada 2 Ogos 2010. Pengerusinya; Encik Mohd Eusop Indran menyatakan inilah pertama kali program seumpama ini diadakan di luar pejabat, khasnya di surau. Beliau juga merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak surau atas kerjasama yang diberi..

Pihak surau juga amat bertuah kerana dapat menghidupkan aktiviti seperti ini di samping dapat menambahkan lagi kenalan dan rakan jemaah kita. Terima kasih semua.

FOTO PROF MKI DI SURAU



Tuesday, July 27, 2010

GANTIKAN ALHAMDULILLAH PADA 'MUJUR' & 'BERNASIB BAIK'

Sering sahaja kita berkata; 'aku bernasib baik; mujur dia tak pergi; mujur tak hujan hari ini' dan rangkaian perkataan seumpamanya. Kata-kata ini tidak memberi apa-apa makna kepada orang Melayu kerana itulah bahasa orang Melayu yang dipakai hari-hari. Itulah lidah dan budaya orang Melayu.

Namun apabila diperhalusi, ada sesuatu yang tertinggal pada ungkapan kata seperti itu. Ia seakan menghilangkan 'kuasa Allah', Tuhan yang menentukan qada dan qadar alam buana ini. Kita percaya bahawa semua ketetapan, perlakuan dan peristiwa berlaku dengan izin-Nya jua.

"Tidaklah kamu merejam (atau melontar) ketika berlakunya perejamam itu, melainkan Akulah (Allah) yang merejamnya." (Al-Anfal: 17)

Perlakuan makhluk diizinkan berlaku atas ketetapan Khalik (Allah Pencipta). Namun manusia perlu bertindak, perlu berusaha untuk menentukan kejayaan dalam tindakannya. Mengatakan 'bernasib baik' atau 'mujur' perlu dinisbahkan dengan Allah SWT; maka tentulah yang terlebih baik digantikan dengan kalimah; ALHAMDULILLAH.

"ALHAMDULILLAH tak jadi hujan, Alhamdulillah dia tak pergi, Alhamdulillah dia bernasib baik (ataupun memadai, Alhamdulillah sahaja!)Alhamdulillah pada takdir Allah begitu dan begini.

(Ini antara kupasan saya dari ceramah Prof MKI yang saya dapat jelmakan di sini. Terima kasih Allah, terima kasih Prof dan terima kasih semua)

Wednesday, July 21, 2010

PROF DR HJ MUHD KAMIL IBRAHIM DI SURAU KITA

Insya-Allah, doakan semoga ia berjalan dengan lancar. Kita menjemput Prof MKI untuk berceramah di surau kita pada;

Hari Isnin (malam Selasa)
Selepas Solat Maghrib
26 Julai 2010

Bersempena dengan Ramadan yang akan datang, dengan himbauan rahmat dan kasih sayang Allah untuk kita lestarikan iman dan amal.

Temui Prof MKI, tokoh yang selalu muncul di Astro Awani, muncul juga di TV9 dan RTM, penulis buku best seller; Travellog Haji (500 ribu naskah terjual), dengan pendekatan baru untuk kita beramal.

*Jemaah dijemput membawa kuih sepiring untuk kita makan beramai-ramai.

Semua pelayar blog juga dijemput..

Tuesday, July 13, 2010

LADY GAGA, MARIAH CAREY & CELINE DION TURUT SOLAT BERJEMAAH

Menarik. Bukan sahaja jemaah biasa-biasa, malah Lady Gaga, Mariah Carey dan Celine Dion turut solat berjemaah di masjid dan surau. Bukan solat betul-betul, hanya kadang kala terdengar nada dering (handphone) artis berkenaan yang turut solat berjemaah.

Seronok pun ada, tak suka pun ada.. Bayangkan tengah kita solat; bersendirian atau berjemaah, tiba-tiba kedengaran bunyi lagu 'My heart will go on', alangkah tragisnya solat kita. Mahu diikutkan sama nyanyian lagunya atau mahu diteruskan bacaan yang sepatutnya dibaca? Atau barangkali baca dan ikut serentak! kan kita orang hebat!

Rumusannya, eloklah dimatikan handphone ketika masuk ke surau atau masjid, dan lebih baik kalau nada deringannya hanya yang biasa-biasa sahaja.. Kalau terbunyipun, tidaklah janggal sangat.. Manakan tidak Lady Gaga sedang solat berjemaah!

Wednesday, July 7, 2010

ISRAK MIKRAJ DI SURAU AL-MUHAJIRIN, TY

9 Julai 2010 (Jumaat malam Sabtu) akan kita adakan ceramah Israk Mikraj dan menjemput Ustaz Mohd Zainudin Mustafa (UiTM) sebagai penceramah. Majlis ini ringkas sahaja, selepas Maghrib diadakan ceramah. Dan makan-makan selepas Isyak.

Seperti tahun-tahun lalu, kita buat nasi ambeng ala Taman Yayasan. Lauk pauk dimasak di rumah masing-masing; ada yang masak sayur, ada yang sediakan ayam, ada yang sediakan serunding dan berbagai lagi. Lalu di bawa ke surau dan dimakan beramai-ramai. Meriah jadinya.

Namun kali ini kemeriahannya berganda. Manakan tidak, dari program yang simple berubah menjadi majlis besar. Ada hamba Allah yang sudi memberikan dua ekor kambing untuk dimasak. Nampak gaya Ayahanda Hj Khalid sudahpun bersedia untuk memasak rendang kambing yang akan dimakan dengan nasi ambeng.

Itulah rezeki, itulah ketentuan Allah. Percayakah kita?

Dijemput ahli jemaah, ahli kariah surau al-Muhajirin ke majlis ini. Datanglah bersama ahli keluarga. Rakan pembaca blog juga dijemput hadir dan menikmati juadah kami..

Wednesday, June 30, 2010

TAKZIAH SDR MOHD FIRDAUS BIN ALI

(Fahmi)
(Firdaus)


Mohd Firdaus adalah pelajar Tingkatan Lima - SPM- di SMK Buloh Kasap. Ketika pulang dari sekolah hari Khamis 24 Jun lalu bersama rakannya, Fahmi Haslahudin; mereka terlibat kemalangan jalan raya. Difahamkan kereta yang melintas di jalan 4/19 tidak berhenti di persimpangan lalu motor yang mereka naiki melanggar kenderaan berkenaan. Firdaus koma beberapa hari di hospital sehinggalah disahkan meninggal dunia pada Isnin (28 Jun)dan dikebumikan pada malam berkenaan di perkuburan Berata.

Ramai dan terlalu ramai yang datang berziarah. Rakan-rakan sekolah, guru, masyarakat taman dan entah dari mana datang berpusu-pusu menziarahi jenazahnya.

Firdaus seorang anak yang baik. Pernah dia menyertai team latihan kompang di rumah saya sesekali untuk mengenal rupa wajahnya. Malah dia anak cemerlang. Dimaklumkan keputusan peperiksaan pertengahan sem baru-baru ini dia mendapat 7A. Kami beryasin dan tahlil selama tiga malam berturut-turut di rumahnya, dan rakan-rakannya turut hadir.

Takziah kepada ahli keluarga, semoga bersabar menerima ujian Allah.

Sdr Fahmi pula mengalami kecederaan di kaki dan bahagian bawah perutnya. Fahmi beransur pulih. Syukur.

(Mereka semua adalah anak-anak saya yang baik.. dan Allah sayang kepada mereka..)

Sunday, June 6, 2010

SEMASA

Musim cuti sekolah bermula. Dan surau juga menerima kesannya. Agak berkurangan jemaah yang hadir, maklumlah ramai yang bercuti dan pulang ke kampung halaman. Minggu ini saya masih mengimamkan jemaah, namun mulai hujung minggu ini dan hingga 19Jun, saya akan ke Beijing. Diharap Imam Samsuri dapat membantu perjalanan jemaah kita.

Imam Hadzri masih lagi dalam rawatan, masih ada komplikasi pada pembedahannya.

Haji Jaafar Ahmad sedang berumrah mulai minggu ini. En Johari Rajab pula akan ke sana mulai 13 Jun nanti. Semoga mereka semua mendapat umrah yang terbaik.

20 Jun kenduri di rumah Puan Rokiyah, balu En Khalid posmen.

Hujung Jun ini pula rakan muda kita merancang untuk mengadakan perkhemahan rakan muda di Pantai Puteri, Melaka. Semoga ia mendapat kerjasama remaja di TY.

*Selamat bercuti kepada semua jemaah. Ruangkanlah sedikit waktu bersama keluarga dan sanak saudara, semoga semuanya selamat.

Thursday, May 13, 2010

IMAM HADZRI HAROM & arwah ibu Syeikh Hussin

Imam 1 Surau Al-Muhajirin telah lama dikesan sakit jantung. Selasa (11 Mei) lalu dia dimasukkan ke IJN menjalani pembedahan - by-pass - dan sehingga hari ini, keadaannya beransur pulih. Menurut isterinya, Puan Aida, Imam Hadzri telah dikeluarkan dari ICU ke wad biasa (hari ini, Khamis) namun masih dalam pengawasan rapi. Dikhabarkan dia telah mula minum, walaupun terlalu penat.

Kita doakan semoga beliau cepat sembuh dan kembali bertugas mengimamkan jemaah. (Nak harap imam 2, sekejab ada, sekejab hilang macam biskut)

Rakaman takziah juga kita ucapkan kepada Sdr Syeikh Husin (MDS) jemaah kita yang kehilangan ibunya, Puan Ramlah Ahmad pagi tadi di Tongkang Pecah, Batu Pahat. Jenazah akan disembahyangkan selepas zohor di sana. Di surau malam ini kita doakan kepada arwah dan solat ghaib..

Kebetulan pada malam ini giliran Syeikh Husin membawa juadah tahlil, dan inilah takdir Allah pada saat yang paling tepat untuk keluarganya.. Semoga Allah merahmati seorang ibu yang baik, bersyukur mendapat anak yang baik

Friday, May 7, 2010

SAMBUTAN HARI IBU DI SURAU AL-MUHAJIRIN

Sambutan Hari Ibu akan diadakan di Surau kita pada 9 Mei 2010 (Ahad) bermula jam 10.00 pagi. Majlis ringkas ini terbuka kepada semua.

Sila datang bersama keluarga, isteri dan anak-anak. Ada sedikit slide show presentation diikuti dengan bacaan karya untuk ibu.

Anak-anak diminta membawakan hadiah (seperti kad ucapan, bunga dan sebagainya) untuk dihadiahkan kepada ibu pada sesi terakhir majlis.

Sila maklumkan kepada rakan dan jemaah yang lain.

Sunday, April 25, 2010

SOLUSI MESYUARAT AGUNG SURAU 2010

Perjalanan MAT Surau berjalan lancar. Paparan aktiviti surau sepanjang 2009 - 2010 melalui tayangan slide sudah cukup menggambarkan sebahagian aktiviti surau. Ia menghimbau betapa kita ini tidak diam begitu sahaja ketika Allah amanahkan surau ini kepada kita.

Antara perkara yang menarik mendapat perhatian ialah usul untuk memberikan sumbangan RM200 kepada setiap ahli kariah yang meninggal dunia. Ia diluluskan setelah sedikit tambahan dan permintaan jemaah. Syarat utama ialah ahli kariah perlu mendaftar dengan surau keahlian keluarga mereka yang menetap di Taman Yayasan dan sekitarnya, dan jika berlaku kematian, surau akan membantu RM200 dari peruntukan tabung surau sendiri.

Perkara lain yang dikemukakan ialah tentang aktiviti ceramah dan kuliah di surau, serta permintaan untuk mengadakan kelas-kelas agama kepada kaum ibu di TY1 dan TY2.

Terima kasih kepada Puan Emilia (Petronas Taman Yayasan) yang menyumbangkan makan-makan dan kepada semua jemaah yang hadir. Kehadiran mencecah 110 orang, syukur dan tahniah kepada semua jemaah yang prihatin.

Kita ada sediakan cabutan bertuah, dapat air botol atau minyak masak.. tahniah.

Wednesday, April 21, 2010

MESYUARAT AGUNG SURAU MALAM INI

Mesyuarat Agung Surau Al-Muhajirin akan diadakan pada malam ini.. 22 April 2010.

Perasminya ialah En Ahmad Zaidi Sajidan, Penghulu Mukim Buloh Kasap.

Semua jemaah dijemput hadir; lelaki dan perempuan..

Banyak hadiah cabutan bertuah disediakan.

Terima kasih kepada penderma; Puan AMelia dikhabarkan akan menyediakan murtabak, selain makanan ditempah...

Suarakan pendapat anda pada MAT surau pada malam ini.. Bersuara untuk kebaikan ummah.

Thursday, April 1, 2010

MENUMPANG TIDUR DI SURAU

KEPADA ORANG YANG MENUMPANG TIDUR DI SURAU

PASTIKAN ANDA TIDAK MEMASANG UBAT NYAMUK
(KERANA IA BOLEH MEMBAKARKAN KARPET
MENYEBABKAN BAU ASAP MELEKAT DI DALAM SURAU)

ANDA
DILARANG MENJADIKAN SURAU INI SEBAGAI RUMAH PENGINAPAN
(MENGINAP PADA SETIAP MALAM)

PASTIKAN ANDA SOLAT BERJEMAAH DI SINI

JAGA KESUCIAN TEMPAT IBADAH

ARAHAN:
JWT KUASA SURAU AL-MUHAJIRIN, TAMAN YAYASAN
BERKUATKUASA 1 APRIL 2010

Tuesday, March 30, 2010

PENGERUSI PERTAMA SURAU AL-MUHAJIRIN MENINGGAL DUNIA

PEngerusi pertama Surau Al-Muhajirin, Taman Yayasan; Sdr Abdul Latif Ismail kembali ke rahmatullah awal pagi semalam (30 Mac 2010). Beliau yang bertugas sebagai pegawai bomba di Kuala Lumpur selamat disemadikan di sana.

Jasa beliau terlalu besar kerana difahamkan beliaulah orang yang menguruskan pembinaan surau di lokasi yang sedia ada. Mendapatkan sumbangan dan peruntukan kerajaan serta menyediakan segala kelengkapan awal bagi sebuah surau. Namanya tercatat di surau sebagai Pengerusi Pertama yang tentunya menjadi amal jariah berkekalan.

Secara peribadi, saya kurang mengenalinya kerana dia telah berpindah ke Kuala Lumpur semasa saya datang ke Taman Yayasan. Namun dalam majlis tahlil yang diadakan di rumahnya (di tepi surau), sempat saya berbicara seketika. Hasratnya untuk pencen dan menetap di Taman Yayasan tidak kesampaian.

Semoga Allah merahmati pemergiannya, dan Allah tempatkan bersama syuhada dan anbia. (Jemaah surau malam tadi menghadiahkan bacaan yasin, tahlil dan solat sunat ghaib).

LAGI GAMBAR MAULID DI SURAU






LAGI foto kenangan.. En Baharudin ahli jemaah yang aktif akan berpindah ke Kelantan bulan April ini.. selamat berpindah.

MAULID KITA MERIAH





Syukur ke hadrat Allah kerana sambutan maulid kita meriah dan melata.

gotong royong ternyata ramai yang hadir membantu, penyertaan pertandingan kanak-kanak juga baik dan di luar jangkaan apabila orang luar turut hadir sama.

Malam hari jamuannya berlanjutan hingga ke Isyak dan persembahan kanak-kanak tadika Kemas, Raudhah dan Pasti kena pada sasarannya.

Ceramah Ust Nazarudin tidak menghampakan, bisa mencuri perhatian dalam kelam kelibut anak-anak dan orang dewasa juga...

Kepada semua, tahniah dan syukur. Semoga ia menjadi ikatan kasih sesama kita dan kasih kepada Rasulullah s.a.w.

Wednesday, March 24, 2010

PERTANDINGAN SEMPENA MAULID SURAU 2010

PERTANDINGAN AZAN, HAFAZAN DAN KHAT

Pertandingan azan; terbuka kepada semua anak remaja di bawah umur 15 tahun.

Pertandingan hafazan; terbuka kepada lelaki dan perempuan:

Kategori Senior (12 – 18 tahun). Bacaan surah Yasin ayat 1 – 20, ayat kursi, al-Dhuha dan Al-Tin

Kategori Junior (12 tahun ke bawah) Bacaan surah al-Fiil, Al-Insyirah, al-Takathur, al-Zalzalah.

Pertandingan khat, terbuka kepada semua di bawah umur 18 tahun. Sila bawa alat tulis sendiri.

Pertandingan dijalankan pada 27 Mac 2010 bermula jam 2.30 petang. Pendaftaran dijalankan pada hari berkenaan.

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI, IBU BAPA DIHARAP MEMBAWA ANAK MASING-MASING MENYERTAI PERTANDINGAN YANG DIADAKAN.

SAMBUTAN MAULID SURAU 27 MAC 2010

SAMBUTAN MAULID RASUL S.A.W. SURAU AL-MUHAJIRIN,
TAMAN YAYASAN

Tarikh: 27 Mac 2010 (Sabtu)

Tentatif:
2.30 ptg Pertandingan azan, hafazan, khat untuk anak-anak

4.30 ptg Solat Asar

Penyampaian hadiah pertandingan anak-anak

5.45 ptg Berzanji & Tahlil

7.20 mlm Solat Maghrib berjemaah

Jamuan makan & persembahan
nasyid tadika & wanita Taman
Yayasan

8.28 mlm Solat Isya berjemaah

Ceramah Maulid oleh Ustaz
Nazaruddin Abd Kadir

10.30 mlm Penyampaian hadiah

11.00 Bersurai

Monday, March 8, 2010

KULIAH MAGHRIB US MOHD ZAINUDDIN MUSTAFA

Kuliah Maghrib Ustaz Zainuddin (dari UiTM) diadakan dua minggu sekali (sebulan dua kali) iaitu pada setiap Hari Isnin minggu kedua dan keempat. Isu yang dibincangkan berkaitan fiqh semasa berpandukan buku fiqh mazhab Syafie.

Pendekatan ustaz ini amat baik dan menarik. Terlalu banyak ilmu dan manfaat yang boleh dikongsi dari majlis ilmu sepertinya. Diharapkan ahli kariah akan mengambil peluang ini untuk meningkatkan amal dan ilmu keagamaan.

Datang, jangan tak datang.

Sunday, March 7, 2010

MAULID SURAU PADA 27 MAC 2010

Sambutan Maulid Rasul SAW peringkat surau akan diadakan pada 27 Mac ini. Sambutan kali ini dirancang seperti tahun-tahun lalu juga; bermula dengan gotong royong penyembelihan dan masak memasak pada awal pagi; sesi pertandingan untuk kanak-kanak selepas Zohor dan berzanji selepas Asar.

Selepas Maghrib, jamuan makan malam diiringi persembahan kumpulan nasyid anak-anak tadika di TY dan selepas Isya diikuti dengan pula dengan ceramah.

Kepada semua jemaah dan pembaca dijemput hadir ke majlis berkenaan. Datanglah bersama keluarga menimarahkan majlis kita.