Tuesday, February 22, 2011

MEMENANGI HATI JEMAAH, MENYANTUNI ADAB DI SURAU

Masjid dan surau adalah rumah Allah yang menjadi milik semua jemaah dan umat Islam. AJK dan pak imam, bilal hanya diberi amanah untuk menjaganya dengan sebaik mungkin. Dalam apa jua keadaan, pengurusan masjid sewajibnya menjaga keperluan dan kebajikan dan menguruskan dengan penuh tanggungjawab.

Soalnya, bagaimana mahu kita memikat hati para jemaah untuk datang ke masjid dan surau? Orang yang biasa dengan masjid, mereka tidak kekok dan senang hati datang walau siapa pentadbir dan imamnya. Bagi yang kurang biasa, tentunya mereka kekok dan malu-malu, malah gusar barangkali.

Di sinilah letaknya peranan imam, bilal, pihak AJK masjid dan semua jemaah yang sedia ada untuk memainkan peranan. Mereka perlu berlapang dada, menerima dan menyambut semua jemaah yang 'kelihatan baru' atau kali pertama ke masjid. Sapaan dan teguran, bertanya khabar adalah elemen penting untuk memaut hati jemaah. Jika perlu kita berdiri di muka pintu menyambut kedatangan jemaah, maka lakukanlah. Tiada ruginya kita meraikan tetamu Allah.

Usah dipersoalkan kenapa jemaah itu muncul tiba-tiba.. Memang payah diri ini hendak memujuk untuk menerima kehadiran mereka yang seakan-akan 'bersebab', tetapi mengertilah bahawa kita tidak pernah tahu apa yang ada di dalam hati mereka, kita bukannya TUHAN untuk menghukum si anu datang kerana sebab itu dan ini.. Itu bukan kerja kita.

Prihatin. Perkara kedua penting ialah prihatin. Mendengar ahli jemaah atau keluarganya ditimpa bencara, segeralah mendoakan mereka, solat hajat, ucapkan takziah dan lakukan sesuatu untuk membantu mereka. Ia lantas akan mengikat hati jemaah. Tentunya.

Senyum. Sapaan dan senyuman malah huluran tangan yang diajukan adalah lambang ukhuwwah sejati. Ada kalanya orang senang berjemaah di surau kita kerana mereka rasakan kita menerima mereka seperti di tempat mereka sendiri, bukannya orang asing. Alhamdulillah jika itulah perasaan dan nilaian mereka kepada kita. Tapi amat malang jika mereka datang ke sini dengan rasa meluat, jijik dan terasing, maka gagallah kita memikat hati jemaah.

Kami pernah menghulurkan sumbangan RM50 kepada ahli jemaah yang akan berkenduri kahwin di Thailand. Dia orang Patani, dan dia tidak pernah harapkan apa-apa daripada surau. Dia hanya hadir solat berjemaah Subuh kerana waktu itulah kelapangan waktu padanya, sedangkan waktu lain dia bekerja di restoran berdekatan. Saya percaya, sumbangan sedikit itu tentunya memberi erti kepada kasihnya kepada surau kita, harga dan nilai tinggi kepada apa yang hulurkan. Sedangkan nilai RM-nya hanya RM50!

(Teringat saya kepada towkey Cina yang selalu dikatakan baik oleh pekerja Melayu; puncanya kerana setiap kali raya Cina mahupun raya Melayu, dia hulurkan sesuatu. Dapat oren sekotak, sudah cukup untuk mengatakan kebaikannya seumur hidup). Kenapa kita tidak terfikir begitu?

Ah, banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk menambat hati jemaah. Semuanya atas nama redha Allah semata. Restuilah kami Ya Allah.