Thursday, January 29, 2009

MASJID PUTRAJAYA YANG HEBAT..

Assalamuailaikum,
Ruginya saya tidak bepeluang menghadiri semua majlis yang berlangsung. Saya menziarahi anak saya Nurul di Damasara, Selangor. Dulu, dia agak keberatan jika saya sekeluarga bermalam di rumahya. Maklumlah, pada masa itu rumah berkongsi dengan rakan-rakan. Sekarang, semua dia telefon; emak, adik-adik di sms supaya kami datang ke rumahnya. Tapi yang nyata saya bakal mendapat cucu. Hadiah untuk hari pesaraan saya agaknya.
Balik, saya singgah ke Putrajaya. Hazwani pernah ke sana semasa bayi dahulu. Ini bermakna kali akhir saya ke sana 10 tahun yang lalu. Sempat ziarah ke Masjid Putrajaya.10 tahun hingga sekarang masjid masih belum siap di ubah suai? Tidak ada nampak apa yang berbeza sangat. Yang jelas, besi scafold yang berselerak di tepi masjid dan lantai yang berdebu di sana sini.Masalah betullah orang Melayu. Kalau tak jadi kontraktor, jaga kontraktor. Dua-dua tak boleh buat.
Masjid yang dikunjungi pelancong ratusan orang setiap hari, rupa dia macam itu?Dah tau nak cuti, bersihkanlah dulu lantai dan sisa kerja. Karpet dah begitu buruk dan berdebu. Tempat mengambil wuduk jauh di hadapan, berhampiran pintu masuk. Kaki basah dari air wuduk terus pijak lantai yang berdebu dan masuk ke dewan masjid. Mana tak buruk rupa karpet? Kalau nak kira karpet surau TY jauh lebih bersih dari Masjid Putrajaya. Kena eksport Hj Hassan ke sana.
Saya dapati "jaga" di mana-mana pun sama. Saya dah bosan mengawal jaga. Kalau pandai kerja, memang tak jadi "jaga". Mereka berkumpul sesama mereka. "Jaga" ada yang tak sampai darjah 6 pun. Macam mana nak kawal pelancong? Tengok pelancong dia dah takut. Kalau pelancong tanya apa dia nak jawab? Kalau berlaku masalah jawapan standard dah ada. "Saya tak nampak" atau "saya buang air". Walaupun kita tau dia ada di situ.Pelancong berkeliaran, posting pada lantai yang berdebu dan selerakkan scafolder dan kanvas yang menutupi sebahagian projek. Ada pelancong yang memakai kasut di kawasan yang tidak boleh mengunakan kasut. saya sendiri terpaksa mengejar pelancong dan memberikan nasihat supaya dia keluar dari kawasan tersebut.
Lantai kawasan yang tidak berbumbung telah diselaputi lumut hitam bercapuk di sana sini.Tidak jelas peranan "wanita berjubah" dengan muka yang boleh menghilangkan selera makan. Tengah merenung masa depan, kot. Adakah cukup sekadar menjaga pelancong tidak masuk ke dewan sembahyang?Siapa yang menyambut tetamu? Siapa yang memberikan penjelasan tentang masjid, sejarah dan keunikannya?Ada juga pemandu syarikat pelancong yang memberi penjelasan kepada ahli rombongan mereka. Saya tak tahu apa yang dia beri tahu. Saya tak faham bahasa dia. Adakah pemandu pelancong yang bukan Islam lebih tahu tentang Masjid Putrajaya dari petugas-petugas masjid itu sendiri. Atau mereka sedang mengutuk masjid kebanggan rakyat Malaysia.
Pak Lah tak pergi ke ke masjid tu. Atau bisa tenggal biasa? Tolonglah, hentikan pelancong dari melawat masjid itu. Kerana masjid itu hanya layak dilawati kami yang datang dari ceruk kampung. Atau belajar dahulu membuat maintenance.Saya keluar dari masjid dengan penuh geram...
(Luahan rasa En Ghani)

Wednesday, January 28, 2009

TAHUN BARU CINA 26 JAN 09, SOLAT GERHANA

Selamat Tahun Baru Cina kepada mereka yang meraikannya.
Pada 26 Jan 2008, ada 4 program melibatkan jemaah surau.
Pada jam 12 kami dijemput bertahlil di rumah Cikgu Zafizan di Astaka Jaya. Alhamdulillah ada juga jemaah surau yang hadir maklumlah apabila kenduri dibuat pada siang hari, tak ramai yang akan hadir.

Seusai majlis kami ke surau solat Zohor dan terus ke majlis tahlil dan berzanji di rumah Puan Syarifah selorong dengan rumah ustaz Nawawi. Makan lagi.

Sementara itu, Kumpulan Yasin Wanita TY 2 pula menghadiri majlis yasin/ khatam quran di rumah Cikgu Mazlan, dan majlis dipimpim Ustazah Uda (Pn Rosnah)

Sekali lagi kami berkumpul solat Asar dan solat gerhana matahari di surau. Us Nawawi mengimamkan solat gerhana dan berkhutbah. Dia tidak pandai membaca teks, tetapi bolehlah berkhutbah...Selesai solat, kami menyaksikan sebahagian lagi keajaiban alam; fenomena gerhana matahari. Walaupun sedikit sahaja sentuhan bulan melindungi matahari, ia cukup mengingatkan kita kepada kebesaran Allah. Saya pernah mengikuti gerhana penuh semasa di Kudat, Sabah dalam tahun-tahun 1998 dahulu.. Subhanallah, taajub.

Jiran cina di tepi surau pula menjemput kami ke rumahnya; ada open house raya cina.. Alhamdulillah, makan lagi dan kami bertuah kerana berjiran keluarga cina yang baik hati...

Saturday, January 24, 2009

Kemeriahan Majlis Bercukur Rambut

Taman Yayasan-24hb. Jan 2009. Hj Daud B Samad dengan meriahnya mengadakan 2 majlis serentak pada hari ini dengan sebelah petang majlis bertunang anak perempuan manakala pada sebelah malamnya pula ialah majlis bercukur rambut 2 orang cucu dan salah seorangnya adalah cucu saudara. Majlis bertunang dilangsungkan pada pukul 3:00 petang dan majlis bercukur rambut dijalankan selepas waktu Isyak.

Majlis bercukur rambut di pimpin oleh Ustaz Kamal secara "Keluarga Sakinah" dengan di dahului bacaan berzanzi dari Jemaah Surau Al Muhajirin dan di akhiri dengan bacaan tahlil dan doa yang di pimpin oleh Imam 1, Mejar (B) Hadzri Harom.

Jemputan di jamu dengan masakkan daging "kambing aqiqah" sempena kelahiran cucu beliau.

Dalam ucapan Ustaz kamal, beliau menyarankan supaya majlis cukur rambut saperti ini hendaklah di teruskan kerana amalan sunah ini sedikit demi sedikit telah mula di lupakan. Beliau juga menyedarkan bahawa amalan "potong jambul" adalah amalan tradisi yang tidak membawa apa-apa sunah dan hendaklah digantikan dengan majlis bercukur rambut saperti yang di lakukan pada malam ini.

Bagi menjawab soalan Hj Toha yang bertanya, ada pendapat yang mengatakan majlis membaca barzanzi dan cukur jambul sebagai bidaah, Ustaz Kamal menjawab bahawa bercukur rambut adalah sunah dan ada nasnya manakala majlis berzanzi dan tahlil adalah bidaah hasanah.
Jemputan diberikan oleh-0leh kek bahulu berserta dengan 2 biji telur.

Hj Mohammed Isa Kehilangan Ibu Tersayang.

Taman Yayasan- Pada 24 hb pukul 10:30 pagi, sekali lagi penduduk di taman ini gempar dengan berita Hj Mohammed Isa bin Dawee telah kehilangan ibu yang tercinta, Allahyarhamah Aisah binti Ikhsan, 80 tahun yang telah pergi meninggalkan keluarga tersayang buat selama-lamanya.

Diantara yang sama-sama menziarah keluarga dan mengiringi jenazah ketanah perkuburan ialah ayahanda Hj Khalid Hassan, bonda Zainab Uda dan Imam Samsuri Hj Ismail.
Jenazah telah di semadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Raja, Bukit Kepong, Muar pada pukul 4:00 petang pada hari yang sama.
Hj Mohammed Isa mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan kerana sudi mendoakan Allahyarhamah bonda beliau. Semoga doa tuan-tuan di perkenankan oleh Allah dan Allahyarhamah di berikan kelapangan kubur semasa di alam barzah dan di letakkan di antara orang-orang yang beriman di Syurga Jannah kelak.

Selepas upacara perkebumian, Imam Samsuri, anak jati Muar, telah membawa ayahanda dan bonda ke Balai Polis bangunan bersejarah, Bukit kepong. Ayahanda begitu tersentuh dan menghayati catatan sejarah yang dipamerkan dipapan pameran yang di dirikan di hadapan bangunan bersejarah tersebut.





Dengan kesayuan, ayahanda melangkah pulang dan bersyukur tinggal di negara yang aman dan berharap supaya kita semua juga mensyukuri nikmat ke amanan.
Hj Isa sekeluarga yang belum lagi menjamah walaupun sedikit makanan sejak dari pagi, sudi membawa ayahanda, bonda dan Imam Samsuri untok mengambil sedikit minuman petang.












Tuesday, January 20, 2009

BERAPA CEPAT BERITA DISAMPAI DI TY?

Petang semalam; 20 Jan 18:32, rakan saya Cikgu Ramlee menghantarkan SMS; "Hj Hasan noja kemalangan sekarng kat hospital Segamat, keadaan belum pasti." Berita ini gempar dan penting kepada kami yang telah lama berkawan di surau.

En Ghani yang mendapat jolokan CNN Taman Yayasan akan memajukan SMS yang sama kepada semua rakan-rakan dalam folder 'surau'-nya. Dan berita ini sampai ke pengetahuan hampir 30 jemaah surau dan ternyata kaedah ini amat membantu kami melicinkan perkhabaran dan berita semasa. Cumanya, tak tahulah berapa En Ghani membayar bilnya untuk menjadi sumber informasi segera seperti ini. Saya kira dia tidak pernah memikirkan soal bayaran bil hp-nya. Ternyata ia amat berkesan.

Namun apa terjadi apabila berita itu tidak benar?

Itu yang terjadi semalam. Haji Hasan lain yang terlibat, bukannya Haji Hasan noja. Ada yang lebih pantas bertindak seperti En Ghani telahpun bergerak menuju ke hospital sampai ke Tahang Rimau.. sebelum berita sebenarnya diperoleh.

Berapa cepat berita seperti ini boleh tersebar?

Wednesday, January 14, 2009

AMAN PALESTIN: NGO YANG BOLEH DIYAKINI

Assalamualaikum wmt.wbth

Jzkk kepada orang ramai yang menyumbang kepada perjuangan membebaskan Palestin dan Al-Quds. Di sini suka saya ingin menjelaskan kepada semua bahawa Aman Palestin Berhad adalah satu badan yang ditubuhkan dengan objektif yang jelas; dimana dalam M&A (memorandum of Articles) antaranya to collet donation for Palestinian refugees through out the world especially in the Lubnan camp, Syria and inside Palestine.

Berasaskan matlamat ini sejak kelulusannya pada 2006 ianya telah menjalin kerjasama dengan hampir semua badan-badan NGO Islam Palestin yang mengendalikan kebajikan di dalam dan luar kem pelarian. Kami pergi dan kendalikan projek bukan hanya serah duit atau ubatan. Aman mempunyai projek-projeknya di kem pelarian dengan kerjasama mereka. Kami hantar pegawai "mutabaah" semua projek dan minta laporan terperinci. Jika mereka gagal kita pilih NGO yang lebih baik dan lebih ikhlas.Misalnya kami mempunyai hubungan dengan NGO di dalam Gazza.

Jadi insyaAllah semua sumbangan akan disalurkan bagi projek-projek yang telah ditentukan. InsyaAllah yang terdekat kami akan ke Rafah dan akan menyumbang bagi pembelian perubatan dan peralatannya spt ambulan. Sebelum ini sewaktu perang 34 hari Regim Israel Lubnan kami serahkan sebuah ambulan untuk Hospital Hamzah di Selatan Lubnan milik Pelarian Palestin. Harganya ialah USD35,000. lengkap dengan peralatannnya.

Anda juga boleh mengambil anak anak yatim syuhada Palestin Gazza dan di Lubnan. hanya RM130 sebulan anda menyumbang di jalan Allah untuk syuhada yang telah pergi! Bukankah itu namanya jihad dan perjuangan bersama mereka. Anda juga boleh menyumbang RM250 untuk satu buah keluarga sebulan bagi pelarian di dalam Gazza atas nama projak " Selamatkan Gazza".

Bukankah itu kita berkongsi derita dan air mata. Jika ada jiran kamu yang kelaparan sedangkan kita kekenyangan bukankah itu satu sifat yang buruk?Saudara-saudara kita sedang kelapan, kebuluran, tiada elektrik, tiada ubat dan hanya air mata taqwa kepada janji-janji Allah SWT maka di mana kita dalam semangat membantu saudara-saudara kita.

Jika kita tidak dapat menolong jihad qital di dalam Gazza kita pilihlah jihad yang mudah kita lakukan dengan menyumbang dana. Jika anda ingin melihat profail anak-anak yatim syuhadak ini silalah ke Pejabat AMAN. setakat ini sudah 300 orang anak yatim yang ditaja oleh rakyat Malaysia termasuk cucu Sheikh Ahmad Yassin! Jika anda ingin anak lagi tapi isteri mungkin sudah berumur atau uzur, maka ambillah seorang anak yatim di sana. Jika anda mengambil anak yatim di Lubnan atau Syria anda boleh menziarahi mereka di kem-kem sana kecuali Gazza anda masuk ke dalam terowong Rafah!

Aman Palestin Berhad sentiasa diaudit oleh Auditor, melaporkan kewangannya kepada pihak kerajaan, mempunyai penasihat undang-undangnya dan semua BOD bukan pemilik atau ada sebarang share. Ianya adalah syarikat berhad dengan jaminan kerajaan. Kami tiada apa untung walau sesenpun cuma "hati-hati kami" sentiasa merasa amat gembira sekiranya kami membantu rakyat Malaysia menolong dan mengurangkan derita mereka.

Itu sahaja sudah cukup buat kami semua. dan mengharapkan ganjaran di akhirat nanti. Kami juga membuka ruang untuk anda menjadi sukarelawan. Dengan mendaftar anda layak mengikuti kursus TOT dan memberi khidmat jika diperlukan atau bersama-sama ke kem pelarian dengan wang anda sendiri.

Sekian moga Allah SWT membantu dan memenangkan perjuangan saudara-saudara kita di sana.Qadiyah Palestin adalah isu kemanusiaan, ukhuwwah (brotherhood) dan muqadasat (kesucian al-Quds). Jadi semasa masih bernyawa "berjuanglah sedaya upaya anda!"

Shamsul Ma'arif Ismail
Aman Palestin

Tuesday, January 13, 2009

PERTANDINGAN BOWLING ANTARA SURAU/MASJID

Surau Taman Yayasan mengorak langkah untuk menganjurkan pertandingan bowling antara masjid/surau daerah Segamat. Bermula dengan Masjid Segamat Baru yang sedang membuat persediaan, dan jika diizinkan pertandingan antara surau al-Muhajirin dan masjid Segamat Baru akan diadakan..

Kita tunggu saatnya...

Monday, January 12, 2009

PROGRAM CERAMAH WANITAN DI SURAU

Pada 10 jan 2008 lalu Wanita UMNO Daerah Segamat mengadakan program ceramah kewanitaan dan solat hajat bagi keamanan dan kemenangan umat islam di Palestin. Menurut Puan Hajah Puspa Khairani, program seumpama ini bertujuan memberi kesedaran keibubapaan di samping memupuk rasa kebersamaan sesama umat Islam di seluruh dunia. Merujuk kepada isu Palestin, umat Islam seharusnya kembali bersatu dalam mempertahankan kesucian dan kedaulatan Islam

YB Datuk haji Othman Jais yang merasmikan penutupan program berkenaan mengharapkan lebih banyak aktiviti seperti ini diadakan bagi membina kesedaran dan pendidikan berterusan kepada orang ramai. Perpaduan dan keinsafan seharusnya diberi penekanan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia bagi menangkis serangan Yahudi dan rakan sekutunya, Amerika.

Majlis bermula selepas zohor dimulakan dengan solat hajat dan tahlil sebelum disempurnakan ceramahnya oleh penceramah jemputan dari Kluang. Syukur kerana surau kita digunakan untuk menyemarakkan kesedaran Islam oleh pelbagai pihak.. Semoga surau kita akan kekal berfungsi sebagai pusat komuniti yang berjaya.

Thursday, January 8, 2009

LAWATAN KE PULAU KARIMUN

Tiba-tiba Pulau Karimun yang keluar dan 'dirasmikan' programnya untuk aktiviti berikutnya surau kita. CIkgu Yusof dan Kang Talib sepakat memilih Karimun untuk ekpedisi lawatan surau ke luar negara. Katanya, lokasi ini lebih terpencil dan ramai yang perlukan bantuan..

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai lawatan ini, sila tuliskan nama anda di Surau Al-Muhajirin, Taman Yayasan, Segamat.. Ia semata-mata lawatan amal..

Tarikh dan bayaran belum dapat ditentukan lagi. Insya-Allah dalam masa terdekat maklumat itu akan diperoleh.

BUBUR ASYURA DI SURAU MALAM TADI

Meriaah betul malam tadi apabila ramai jemaah yang datang untuk majlis asyura diadakan di surau al-Muhajirin. Seronok apabila ramai kawan-kawan berkumpul dan bertahlil dan menjamu selera bersama-sama. Malah ada jemaah yang baru, sudah mula bergaul mesra dan tolong itu ini semasa majlis berjalan.

Surau ini adalah surau kita, ia milik bersama dan marilah kita meriahkan surau kita dengan ibadah dan aktiviti sosial. Itu semua pahala belaka.