Monday, December 21, 2009

BANYAK BERITA DAN CERITA

Banyak berita dan cerita yang tidak sempat saya masukkan ke laman blog ini.

Antaranya, foto ibadah korban yang banyak dan menarik (4 ekor lembu)

Semasa berkhutbah solat sunat Aidil Adha lalu, saya rakamkan khutbah yang saya sampaikan.. dan apabila mendengar semula, terasa banyak perkara yang baik dan ada juga perkara yang perlu diperbaiki.. Rakaman sekarang menjadi mudah dengan HP Nokia siri N97..

Jumaat baru-baru ini juga saya rakamkan khutbah yang saya sampaikan.. Kalau dah banyak, boleh kita kompilekan dalam bentuk CD

Sdr fauzi memaklumkan dia telah membuat laman web untuk surau Al-Muhajirin. Terima kasih, mohon maaf krn belum sempat melihat laman berkenaan..

Tuesday, November 3, 2009

PERPADUAN UMAT MELAYU


Malam tadi (3 Nov, ketika black out) YB Othman Jais bertemu ahli UMNO dan jemaah di Balai Raya TY. Isu-isu biasa dipaparkan dan diulang, khasnya jasa-jasa UMNO kepada orang Melayu dalam segala seginya. Perulangan seperti ini, kadang kala ok, namun kadang kala meloyakan pendengaran sahaja.

Tidak dinafikan banyak sumbangan UMNO kepada orang Melayu dan negara, namun itulah tugas hakiki sebagai pemerintah yang menyempurnakan pembangunan negara. Baik kerajaan Pas di Kelantan, Selangor dan kerajaan BN di Johor dan di mana juga adanya, pasti pembangunan itu dilaksanakan dengan seadanya sesuai dengan kewangan dan kebertanggungjawaban mereka kepada rakyat.

Ada perkara yang biasa disebut UMNO dan kalangan pemimpinnya; 'Kenangilah nikmat yang UMNO sediakan kepada rakyat.' Kenyataan ini ternyata semakin tawar pada pengundi dan pada rakyat marhain. Seperkara yang saya hendak betulkan, NIKMAT dan REZEKI hanyalah milik mutlak ALLAH, tidak sesuai digunakan istilah NIKMAT dan REZEKI disandarkan kepada manusia. Apabila mendengar ungkapan 'inilah NIKMAT yang UMNO sumbangkan kepada rakyat' saya amat tersentuh kerana ia tidak selayaknya menyamakan ALLAH pada kudrat dan kuasa manusia.

Diharap ia tidaklah berulang lagi.

Pada sesi soal jawab, En Ghani meminta unifom kompang untuk anak muda, dan kelihatannya UMNO perlu merebut peluang dalam pergolakan politik semasa untuk muncul ke depan sebagai parti yang hebat dan mendepani permasalahan ummah.

CIkgu Yusof Embut meminta diwujudkan sekolah berasrama penuh, hospital pakar dan bit polis di Taman Yayasan.

Saya mengulas tentang perpaduan Melayu, terhakis dan mengecilnya aset Melayu serta kerjasama UMNO dengan organisasi/ institusi setempat.

Apakah agenda perpaduan bangsa Melayu Islam yang dirangka dan dibentuk oleh UMNO? Apakah hala tuju parti ke arah melunakkan kesatuan umat Melayu. Bangsa ini memangnya terlalu taasub dengan kepartian, parti adalah darah daging mereka yang tidak boleh diusik dan diganggu. Parti bukan lagi sekadar wadah perjuangan, tetapi menjadi matlamat dan kemuncak perjuangan. Ini satu penetapan yang sukar hendak diubah.

Pada saya, perpaduan umat Melayu bukanlah bermakna parti A dan parti B disatukan atas satu parti (A + B = C), bukan juga soal mewujudkan Kerajaan Perpaduan itulah yang dinamakan BERSATU, tetapi pada ketetapan matlamat perjuangan, dasar kesatuan matlamat, kesatuan fikrah dan ke arah kesatuan hati yang perlu digariskan. Kepimpinan semua parti perlu menyemarakkan sifat keterbukaan kepada ahli parti mereka, menerima dan menyanjung perjuangan dan sumbangan parti lain dalam berbagai aspek yang selayaknya dihargai.

MCA dan DAP tidak pernah bercakaran dalam erti kata sebenarnya. Mereka wujud sebagai cabang untuk mendapatkan kepentingan bangsa CINA tanpa perlu dipertikaikan lagi. Kenapa perkara ini tidak nyata dilihat oleh orang Melayu, kenapa soal agama, soal bahasa, soal ekonomi, pendidikan dan semua masalah tidak dilihat dari sudut survival bangsa MElayu, sebaliknya dilihat; itu perjuangan parti pembangkang, itu perjuangan UMNO dan sebagainya.

Saya dambakan politik terhormat sebagaimana Demokrat dan Republikan berpolitik di Amerika. Kepartian hanyalah WADAH perjuangan, bukannya matlamat akhir yang hendak diutamakan. Maka di sinilah letaknya KEBIJAKSANAAN ahli politik dalam memandu ummah Melayu ke jalan yang benar dan diredhai Allah.

Sampai bila umat Melayu kekal dan terus terperangkap dengan alunan politik yang dibawa oleh UMNO dan PAS selama ini?

Friday, October 30, 2009

LAGI JEMAAH HAJI


Jemaah haji pada tahun ini berhadapan satu kemelut; lambat hendak mendapat tahu tarikh perjalanan/ keberangkatan ke tanah suci. Difahamkan kerajaan Saudi menghadapi kerugian apabila negara teluk tidak mahu menghantar jemaah mereka kerana wabak H1N1. Akibatnya banyak tempat kosong yang mungkin menyebabkan 'kerugian besar' kepada Saudi.

Bagi menampung 'kerugian ini' Saudi mengenakan syarat kepada negara lain termasuklah Malaysia untuk menggunakan khidmat Saudi Air dalam urusan penerbangan jemaah. Akibatnya, jemaah kita terpaksa disusun semula mengikut kekosongan ruang pada jadual penerbangan Saudi Air.

Inilah masalah utama pengurusan berdasarkan 'perniagaan' bukannya untuk 'ibadah dan rahmat Allah. Pernah OIC menyuarakan hasrat untuk mengambil alih pengurusan haji daripada Saudi dan meletakkan Mekah dan Madinah di bawah OIC, tetapi tentunya mereka tidak bersetuju..

Hingga kini, kita lihat pengurusan jemaah haji kita masih berterabur dan setiap tahun ada sahaja masalah yang berpunca daripada dasar kerajaan berkenaan. Saya fikir kalaulah Tun Mahathir yang memerintah Saudi, telah lama perkara seperti ini dapat dibereskan dengan baik. Bukan begitu?

(Encik Shaari -Pos Segamat- dan isterinya Puan Salmah antara jemaah yang baru mendapat keputusan untuk berangkat ke tanah suci yang diraikan di surau kami). Selamat berangkat semoga mendapat haji yang mabrur.

Sunday, October 18, 2009

MARHABAN WANITA



Kumpulan wanita juga tidak ketinggalan mengadakan marhaban dari rumah ke rumah. Dua pasukan bergerak iaitu Kumpulan Wanita Fasa 1 dan Kumpulan Fasa 2. Kumpulan Fasa Dua aktif bergerak dan mendapat respond hebat. Puas juga mereka berjalan dari rumah ke rumah. Apa yang penting bukan makannya, bukan suka-sukanya tetapi jalinan silaturahim sesama mereka, mereka ada ketua, mereka ada jemaah dan mereka ada sahabat dan saudara di sini. Tahniah dan syukur.

JEMAAH HAJI YANG DIRAIKAN




En Salim bekas seorang jurutera di Mitsumi yang kini berniaga buah-buahan di pasar malam dan gerai di Batu Anam. Ahli jemaah yang komited, ada pada setiap Subuh dan orangnya pendiam.. Syukur dengan limpahan rezeki yang Allah kurniakan.

AIDIL FITRI DAN MERAIKAN BAKAL HAJI DI SURAU TY






Penutup program marhaban dan ziarah surau dengan program Sambutan Aidil Fitri Surau dan meraikan bakal-bakal haji. Program dilangsungkan pada 15 Okt Malam Jumaat lalu.

Mereka yang mendapat panggilan Allah ke tanah suci ialah;

Tn Haji ISmail Tarmudi dan isterinya; Puan Hjh Khalijah Saleh
serta seorang anak lelakinya;
En Hasan Kasim dan isteri; Puan Rohani Nafis
En Salam dan isteri; Puan Noriah.

Sedikti cenderamata kita hadiahkan kepada bakal haji dan kita doakan mereka peroleh haji yang mabrur.

MARHABAN TERAKHIR



Sejumlah 52 rumah dapat kami ziarahi lewat program ziarah dan marhaban surau tahun ini. Terakhir di rumah CIkgu Mokhtar dan Tn Hj Saim. Terharu Tn Haji Saim yang baru pertama kali menerima kunjungan kami.

Monday, October 12, 2009

NYONYA NGE QUI YIN, 52 TAHUN

Seorang wanita Cina ini mungkin tiada terkenal untuk diperkenalkan pada dunia. Namun saya (dan kami) di Taman Yayasan mengenali dan menghargai keberadaannya. Dia seroang yang rajin menolong majlis-majlis kenduri kendara di sini, malah banyak aktiviti di surau, dia turut membantu.

Dia rajin mengemas, membasuh pinggan mangkuk, menyapu sampah (dan kadang kala karpet di beranda surau) juga dibersihkannya. Malam-malam Jumaat biasanya dia datang menghidangkan makanan kepada jemaah dan menyelesaikan cucian pinggan mangkuk ketika kami sedang solat Isyak. Datangnya tidak berajak,ia sukarela. (Imbuhannya sedikit surau hulurkan RM... dan botol kertas terbuang dikutipnya untuk dijual).

Pada majlis kenduri kendara juga wanita ini datang membantu, dan dia akan menukarkan pakaiannya berbaju kebaya pendek untuk menyesuaikan diri dengan majlis. Dia pernah berkata kepada saya; "Kalau awak buat kenduri kawin nanti, saya mahu tolong awak.."

Itulah kisahnya seorang wanita Cina yang mengutip tin, botol dan membersihkan klinik Hidayah dan berbagai kerja lagi untuk menampung keluarga. Kami yang kenal dengannya, timbul rasa kasih dan seronok bergurau itu ini.

Dan pada 7 Oktober lalu, dia dikatakan jatuh di bus stop di Taman Yayasan dan meninggal dunia. Malam Jumaat lalu setelah mendapat berita, kami datang menziarahinya. Beberapa jemaah surau hadir termasuklah CIkgu Ramlee, Hj Khalid, Husin, Wan Zul dan ramai lagi memberi penghormatan terakhir.

Inilah pengalaman pertama saya menziarahi jenazah orang Cina. Adatnya seorang anak akan duduk di laluan masuk ke keranda, dan saya kena menjemputnya berdiri untuk memohon kebenaran melihat jenazah. Ketika kami menatap wajah si mati, anak perempuannya memberitahu (bercerita) kepada jenazah tentang kedatangan kami menziarahinya.

Ramai yang menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Wednesday, October 7, 2009

MARHABAN DI RUMAH SAYA (USTAZ NAWAWI)






Rakaman penghargaan tidak terhingga kepada rakan dan taulan yang sudi datang bermarhaban dan ziarah di rumah pada 6 Okt 09 (Selasa malam Rabu). Malam tadi hanya 2buah rumah yang dilawati; rumah Sdr Faizul dan rumah saya. Banyak yang hendak diperkatakan;

Terharu dengan semua yang datang, sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa walaupun tentunya mereka ada majlis dan jemputan lain...

En Ghani yang terpaksa pulang dari Batu Pahat semata-mata meraikan kami;

En Samsuri yang bawa rombongan wanita Fasa 1; hingga Shida tersentuh dan terasa betapa dirinya dihargai; (Terima kasih banyak Sam..

CIkgu Ramlee yg bijak dan hebat sebagai pemimpin

En Idris dengan menu nasi ayam..

Rakan-rakan lain yang tulus ikhlas kita berkawan, bersahabat

Termasuk juga rakan-rakan Shida dari SMK Sri Kenangan termasuklah Pengetuanya, Puan Hajah Zainab yang berborak hingga lewat malam. Ramai yang datang setelah habis marhaban.

Kami hidangkan ketupat pulut, bihun sup dan menu utama, nasi ayam.

Semoga Taman Yayasan dan sekitarnya terus cemerlang, bahagia, aman dan makmur. Marilah kita doakan seperti ini.. Ya Allah satukanlah hati-hati kami atas dasar iman dan takwa, bersihkanlah diri kami dari rasa iri hati, benci dan kecewa...

Sunday, October 4, 2009

NASI AYAM MUSTAFAR GEMAS DI TY


Semalam dengan rasminya restoran nasi ayam ini beroperasi di Taman Yayasan, bersebelahan kedai nasi Ayam Warisan Gemas. Kami dijemput untuk santapan promosi, dan ternyata menunya kekal terpelihara seperti di Gemas. Tuan Haji Mustafar juga masih memotong ayam untuk hidangan jemputan..

En Ghani, CIkgu Ramlee, Hj Khalid dan saya turut serta menikmati juadah percuma.

MARHABAN DAN ZIARAH SURAU 2009





Meriah dan seronok dapat berkunjung ke rumah rakan jemaah dari Surau dalam program seperti ini. Namun tidak ramai yang sedia menerima dan menawarkan diri untuk dikunjungi jemaah. Sebenarnya bukan soal makan minum yang diutamakan, tetapi ziarah dan mengenal lebih dekat sahabat dan rakan tetangga, itulah maksud utama.

Semoga amalan ziarah ini mendapat sambutan rakan-rakan lain, hendaknya.

JADUAL MARHABAN

Marhaban dari rumah ke rumah masih berjalan; berdasarkan jemputan dari ahli kariah. Ada yang buat sendiri-sendiri dan ada yang buat berkumpulan mengikut lorong.

Berikut jadual marhaban setakat ini;

2 Okt Tn Hj Ali
3 Okt En Anuar ABd Manaf, Cikgu Md Nizar, CIkgu Norashikin dan rakan2 di 5/5 (Hj Ghazali, Hj Baharudin, En Hafiz dan CIkgu Syaiful bahar Darus
4 Okt EN Rafar, Tn Hj Ismail Tarmudi/ Hafiz Emilia/Azman
5 Okt; Tn Hj Ramlee Ramlan dan rakan-rakan (7 buah rumah)
6 Okt; Ust Nawawi
7 Okt Tn Hj Jari Wandi
8 okt ; masih free
9 Okt; Jamil Sajuri/ En Rahman
10 Okt; Hj Manan & Hj Yaakob
11 Okt; Juwahir dan Rasyid
15 Okt; sambutan Aidil Fitri di Surau dan meraikan bakal haji TY

Semua jemaah dijemput turut serta dalam majlis marhaban yang diadakan.

Saturday, October 3, 2009

Marhaban 15 Syawal.

Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan menyertai program ziarah dan selawat sempena hari raya aidilfitri. Malam itu sahaja ada 7 buah rumah yang telah dapat di sempurnakan hajat masing-masing. Selepas Magrib, jemaah telah menziarahi Tn Hj Md Nizar dan En Anuar. Ziarah di sambung selepas solat isyak kerumah En Ghazali, Hj Baharuddin, Hj Tahfiz, En Safuan dan berakhir di rumah Tn Hj Norashikin yang juga ahli jawatankuasa Surau Al Muhajirin.

Saya telah terlepas peluang dalam program ziarah awal kerana bertugas di luar kawasan. Dari jadual ziarah yang terpapar di papan jadual ziarah di surau, jadualnya tidaklah begitu ketat jika di bandingkan dengan 2 atau 3 tahun dahulu. Tentu ada sebab perubahan iklim persekitaran yang mempengaruhi susana tahun ini. Jika ambil kira pertambahan penduduk dan pertambahan jumlah jemah yang datang pada majlis yasin di surau, sepatutnya mungkin kumpulan perlu di pecahkan kepada beberapa kumpulan. Jumlah ahli rombongan juga tidak nampak ada pertambahan. Yang ketara ketiadaan remaja dan kekurangan jumlah kanak-kanak yang turut hadir.
Format ziarah buat masa ini adalah berdasarkan jemputan. Semasa zaman kanak-kanak, saya ziarah dan marhaban keliling kampung tidak di jemput. Asalkan kami beri salam dan pintu rumah di buka, kami menderu masuk kerumah dan bermarhaban. Kami mengunjungi dari rumah kerumah dari pangkal hingga ke hujung kampung. Pada hujung syawal biasanya ziarah kerumah-rumah telah selesai. Kami akan berziarah ke kampong yang berdekatan termasuk rumah pemimping-pemimpin setempat saperti rumah Tuan Kadi, DO dan Menteri Besar atau jika ada jemputan dari mana-mana pehak.
Saya berpendapat, format jemputan adalah format "NGO" atau "swasta". Surau adalah kumpulan dakwah. Berdakwah bukan di panggil tetapi mendekati dan menyeru. Walau bagaimanapun, kehidupan modern hari ini membatasi cara saperti ini atas alasan kesibukan dan privasi. Walau apa pun saya fikir gabungan kedua-duanya masih boleh di lakukan dengan keadaan masyarakat yang pelbagai. Dengan mendekati masyarakat, saya yakin kita akan dapat menarik lebih ramai kariah untuk mengimarahkan lagi surau. Dari itu sewajarnya format berdasarkan blok ke blok atau lorong ke lorong dilaksanakan kecuali jika ada permintaan atau penolakkan.

Agbr: Rindu suasana kampong yang saling memberi dan menerima.


Pengerusi asyik mendengar ucap balas dari Tn Hj Norasyikin


Sebahagia ahli rombongan memenuhi ruang tamu dan lobby rumah Tn Hj Norasyikin
Ustas dan Imam Samsuri bertanya khabar kepada ayahanda Tn Hj Norasyikin.


.



Tetamu menikmati juadah yang di sediakan oleh kumpulan Syikin & rakan-rakan.

Wednesday, September 16, 2009

SALAM AIDIL FITRI: MAAF ZAHIR DAN BATIN

Salam Aidil Fitri dan maaf zahir batin kepada seluruh pengunjung blog ini, kepada jemaah surau Al-Muhajirin dan muslimin muslimat. Bagi pihak AJK Surau, kami bermohon ampun maaf atas salah dan silap.

Doakan semoga surau kita akan terus cemerlang, makmur dan diimarahkan sepanjang masa.

Berhati-hati di jalan raya dan semoga selamat dalam perjalanan.

TADARUS RAKAN MUDA 16-17 SEPT 2009





Penyertaan seramai 45 orang peserta menunjukkan program seperti ini telah mendapat tempat kalangan remaja. Sejak beberapa tahun lalu, surau kita berjaya menganjurkan program seperti ini dan sambutan anak-anak muda begitu baik. Syukur.

Kali ini sambutan begitu menggalakkan walaupun promosi tidak seberapa (AJK asyik sibuk je) dan ramai anak-anak kompang yang terlibat. Saya menugaskan mereka membaca juzuk ke 30 sahaja dengan saling membimbing antara satu sama lain.
Pihak surau juga menyediakan duit raya kepada peserta (ada 2 orang peserta dari Bukit Siput) dengan buget tidak kurang RM400.00. Tahniah dan terima kasih kepada AJK terlibat yang membantu.

Monday, September 14, 2009

CUCU SULUNG EN. GHANI

Malam tadi (14 Sept, jam 11pm) Nurul selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital Putrajaya. Tahniah kepada En Ghani kerana mendapat cucu pertamanya. Sebelum ini dia kelihatan sibuk mengemas rumah dan menyediakan kelengkapan bayi (terserempak Kak Hasnah beli kain batik di pasar malam TY) yang dijangka lahirnya 2 hari selepas raya.

Tapi itulah ketentuan Allah, bayi kecil ini mahu difitrahkan juga oleh bapanya.. (Bayar fitrah tau..) Semoga Nurul bertambah bahagia dengan kelahiran cahamata ini, dan En Ghani tentunya makin berat untuk berpanjangan berada di Batu Pahat.. Betul tak Sdr Rizal?

Tahniah daripada kami di Surau Al-Muhajirin.
(Nak kena masukkan foto bayi kecil tu..)

LAGI FOTO KHATAM AL-QURAN





Beberapa keping lagi foto majlis Khatam Al-Quran di surau. (12 Sept 2009)

Sunday, September 13, 2009

MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN IFTAR 2009





Majlis ini diadakan pada 12 Sept lalu dengan sambutan meriah daripada jemaah. Aktiviti rewang bermula jam 10 pagi dengan juadah istimewa, itik masak rendang. Sebanyak 50 ekor itik disumbangkan Hj Husin Kg Kadut untuk jamuan kali ini. Inilah pengalaman pertama menangkap itik, sembelih, memproses (cabut bulu) dan memasaknya. Ramai yang teruja.
Selain itik, ayam masak kicap, rebung lemak daging, ulaman dan cencaluk Melaka menghiasi hidangan berbuka kali ini. Tukang masak kita, Pak Rahman dibantu Haji Khalid, Haji Hasan, Dasli, Razak, Talib, Samsuri dan ramai lagi memang berbaloi dengan keenakan rasa secukupnya.
Ramai juga yang membantu termasuklah jemaah baru seperti En Khairul, En Bahrin dan kaum ibu. En Hazari (Bob) walaupun jauh dari Taman Seruling, sanggup berpagi dan berpetang di sini merewang. Itulah hebatnya kerjasama jemaah di sini. Alhamdulillah.
Majlis Khatam dihadiri jemputan Kadut (ImamTaufiq), Imam Hj Hashim (Sulir), Cikgu Khidir (Bumbum), Hj Muhid Kasiran (Teluk Kelubi), dan ramai yang lain termasuklah anak-anak. Surau juga menyediakan sumbangan fakir miskin terpilih di TY, selain memberi elaun kepada kakitangan surau (Lumayan sebenarnya elaun ni).
Berbuka puasa nampak meriah lebih-lebih lagi orang jauh turut serta seperti Cikgu Arifin Topandi bersama keluarga yang turut bertarawih berimamkan Ustaz Nawawi.

Thursday, September 10, 2009

PENGHUJUNG RAMADAN

PENGHUJUNG RAMADAN

Rebutlah peluang di penghujung Ramadan ini dengan melipatgandakan amal ibadah kita. Perbanyakkanlah doa, sedekah, zikir, tilawah al-Quran, solat malam dan amalan lain.

Kesibukan dengan persediaan menyambut Aidil Fitri tidak seharusnya menenggelamkan ibadah sunat kita. Teruskanlah solat tarawih sehingga ke akhir Ramadan, usah ditangguhkan barang sehari kerana tarawih tiada boleh diganti dengan solat-solat yang lain.

Alangkah baiknya pada penghujung Ramadan ini, surau kita kekal penuh dengan limpahan jemaah. Alangkah indahnya jika penghujung Ramadan ini, suara tadarus dan qiam dijalankan sepanjang malam, baik di surau mahupun di rumah.

Hanya mereka yang menikmati dan menghayati Ramadan akan merasai kemanisan dan keindahan beribadah di bulan ini. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang diterima Allah akan amal bakti.

Carilah Lailatul Qadr pada penghujung Ramadan, malam yang menjanjikan ganjaran pahala tidak terhitung nilainya, malam yang diperkenankan segala doa dan hajat, malam yang dilingkungi malaikat rahmat dan keampunan.

Wednesday, September 9, 2009

JUALAN DAGING LEMBU AIDIL FITRI (KOPERASI SURAU)

Koperasi Masjid Al-Muhajirin mengadakan tempahan dan jualan daging lembu sempena Aidil Fitri ini dengan harga RM19.00 sekilo. Tempahan boleh dibuat pada buku catatan yang disediakan di surau.

Daging akan diedarkan pada hari Jumaat 18 September 2009 bermula jam 10.00 pagi.

Bersama kita jayakan aktiviti sulung koperasi kita.

(Borang keahlian dan pelaburan Koperasi juga telah diedar dan sila kembalikan borang bersama caruman dengan kadar segera kepada Bendahari Koperasi, Cikgu Haji Norashikin Mohamad)

MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN BERBUKA PUASA

Majlis Khatam Al-Quran akan diadakan di surau Al-Muhajirin, Taman Yayasan Segamat pada 12 September 2009 (Sabtu) bermula jam 5.30 petang.

Atur cara majlis:

5.30 Ketibaan jemaah
5.40 Majlis Khatam dan tahlil
Penyampaian hadiah dan sumbangan fakir miskin
7.12 Berbuka Puasa
Solat Maghrib
Jamuan Nasi

Dengar khabarnya, jamuan nasi kali ini menarik sekali; ada ayam, rebung dan babat, itik masak kicap dan lain-lain.

Semua jemaah dan warga muslim dijemput menyertai program ini. Bawalah ahli keluarga berbuka puasa bersama-sama di surau kita.

LAGI GAMBAR TADARUS


Majlis seperti ini seharusnya diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada masyarakat dan jemaah setempat menyempurnakan ibadah pada bulan yang mulia ini. Salam Ramadan.

TADARUS GURU AGAMA ZON 3 SEGAMAT







Tadarus ini diadakan di Surau al-Muhajirin pada Ahad 6 Sept lalu dan seramai 30 orang guru agama hadir menyempurnakan tadarus dan khatam al-Quran.

Monday, September 7, 2009

RAMADAN INI SURAU KITA MERIAH





Sambutan jemaah bertambah meriah dengan kedatangan Ramadan. Ramai yang memenuhi saf solat tarawih dan diiringi makan-makan (moreg) selepas solat.