Wednesday, August 24, 2011

MINGGU TERAKHIR RAMADAN

Majlis Khatam Al-Quran dan berbuka puasa diadakan pada minggu lepas; 20 Ogos. dan Alhamdulillah ramai jemaah dan jiran-jiran surau berdekatan hadir. Syukur.

Qiamullail kita adakan 3 kali sahaja berjemaah di surau. Kali kedua pada malam 21 Ramadan lalu, dan kali ketiga pada Jumaat ini; 26 Ogos awal pagi 27 ogos..

Tadarus rakan muda kita adakan sehari sahaja pada 24 Ogos, maaf saya tak sempat nak uruskan seperti selalu. Kali ini jadual harian agak padat...

Malam tadi jemaah ramai.. barangkali anak-anak dari luar sudah pulang dan dapat berkumpul dengan lebih meriah. Teruskan solat tarawih kita hingga ke hujungnya.

Sunday, August 21, 2011

Ayat ayat yang di lambangkan bagi 4 Sahabat.

Pada kebiasaannya, En Omar Zaki akan membacakan terjemahan hadis selepas solat subuh. Walau bagaimanapun pada suatu pagi subuh akhir bulan lepas, Tuan Imam telah memilih Ust Nazaruddin yang membimbing kuliah hadis mingguan di surau untuk memberikan taskirah ringkas subuh pada pagi tersebut. Oleh kerana di minta secara spontan, Ust Nazaruddin telah memilih surah Al-Asr.

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡر
(٣)

Al-Asr
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3) 

Menurut Ust, ada ulamak tafsir berpendapat bahawa surah Al-Asr diturunkan merupakan perlambangan kepada 4 sahabat khalifah Al-Rasidin iaitu Saidina Abu Bakar ra, Saidina Omar ra, Saidina Uthman ra dan Saidina Ali ra.

4 sifat sifat terpuji yang di sebut dalam surah tersebut adalah beriman kepada Allah, beramal soleh, berpesan pesan dengan kebenaran dan berpesan pesan dengan sabar.

Beriman di lambangkan kepada Saidina Abu Bakar al-sidek ra. Ketika peristiwa Isra' Rasulullah SAW, orang-orang kafir Mekkah tidak mempercayainya sehingga ramai yang telah memeluk Islam sendiri kembali kepada murtad. Saidina Abu Bakar telah mengiakan kebenaran perkabaran dari Rasulullah dengan katanya; jika perkabaran itu datangnya dari Muhammad aku percaya dan beriman denganNya. Dengan itu, ramai sahabat sahabat yang telah murtad kembali bertaubat.

Saidina Umar ra pula di lambangkan sebagai soleh. Beliau sanggup berjalan malam untuk mengetahui keadaan rakyat jelata. Ada juga cerita yang pernah penulis dengar bahawa ketika Saidina Umar telah di tikam, sebelum sahabat mencabut senjata dari tubuh beliau, beliau minta senjata di cabut ketika beliau sedang melakukan solat terlebih dahulu.

Saidina Uthman ra pula di lambangkan sebagai berpesan pesan dengan kebenaran. Saidina Uthman ra sanggup berperang hanya kerana menyampaikan dakwah. Satu sumbangan terbesar berpesan-pesan dengan kebenaran beliau ialah dengan mengumpulkan ayat ayat quran untuk di jadikan satu mushaf. Beliau sedar bahawa ramai para sahabat yang hafiz al Quran telah syahid di dalam peperangan. Mushaf beliau terkenal hingga hari ini dengan panggilan resam atau mushaf Uthmani.

Jika Saidina Utman ra di lambangkan dengan tangkas, garang dan berani, berlawanan dengannya adalah Saidina Ali ra. Saidina Ali ra di lambangkan sebagai seorang yang berpesan-pesan dengan sabar sehingga Saidina Ali di cintai oleh semua rakyatnya. Bersesuaian pula isteri beliau Siti Fatimah binti Rasulullah yang juga seorang yang sabar. Jika Sadina Ali karamatullah ra hendak makan roti, Siti Fatimah ra begitu sabar menyediakannya. Beliau sendiri yang memetik gandung, mengisar, menguli dan membakarnya hingga menjadi roti sebelum di hidangkan kepada Saidina Ali ra.

Walau pun pada dasarnya penulis tidak bersetuju bahawa Quran telah menjadikan 4 sahabat ini sebagai perlambangan sebagaimana ayat yang di turunkankan dalam surah Al-Asr.Tetapi, siapalah penulis untuk menolak pendapat para pentafsir dan ustas ustas. Walau bagaimanapun penulis boleh terima jika 4 sifat terpuji itu di lambangkan melalui 4 sahabat tadi. Ia membawa makna yang berbeza. Oleh kerana kejahilan penulis mungkin penulis tidak dapat menjangkau bagaimana Quran memurtabatkan para sahabat sahabat tersebut. Bagi penulis kesemua sifat sifat yang mulia dan terpuji telah dijanjikan dengan jelas oleh Allah SWT ada pada rasulullah SAW sebagaimana dalam surah Al-Ahzab: 21.

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا 


Maksudnya.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
 

Wallahualam.
~agbr.

Friday, August 19, 2011

Godaan Syaitan.

Pada malam 15 Ramadan, Tuan Imam telah membawa surah Al-Hujraat dalam bacaan surah sembahyang sunat Terawih beliau. Tuan Imam telah memetik beberapa maksud ayat yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Antara maksud ayat di baca dipertekankan;
  1. Ayat yang ke 7 : Janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbiran Rasulullah SAW.
  2. Ayat yang ke 11: Janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain (pemimpin-pemimpin) dengan gelaran yang buruk. (Larangan tersebut boleh menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik). Mereka yang tidak bertaubat maka merekalah orang-orang yang zalim.
  3. Ayat ke 12: Jauhilah dari kebanyakan sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah sesaorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
Video dari Ustas Kazim Elias elok juga di renungi. Kredit kepada 740108yard dan Alias Salam Enterprise di dalam penerbitan video ini.




~agbr

Sunday, August 14, 2011

BUBUR LAMBUK

Hari ini kami merewang masak bubur lambuk. Kali kedua Ramadan ini, buat julung kalinya kami buat dan edarkan kepada jemaah.

Ayahanda jadi adviser dan ketua tukang masaknya Pak Rahman dan dibantu yang lain-lain. Minggu lepas hanya seperiuk dimasak dan tidak ramai yang dapat habuan. kali ini ditambah lagi menjadi dua periuk besar dan nampak gayanya boleh diagihkan kepada ramai jemaah lagi.

Ia sekdar sukarela dan ada jemaah yang menyumbang. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dan selamat berbuka puasa.

Komen orang ramai; bubur lambuk kita sedap dan ada kelas... itu tak penting sangatlah, yang penting kita buat sebagai amal jariah kita dan menghidupkan aktiviti surau. Orang lebih dekat dengan surau. Itu yang utama.

(Saya bagi sebungkus kepada jiran Cina di hadapan surau, penghargaan kerana selalu parking depan rumah mereka...)

Monday, August 1, 2011

IMAM DAN JEMAAH DI BULAN RAMADAN

Giliran imam, bilal dan noja bertugas sepanjang Ramadan telah diedarkan. Begitu juga giliran membawa juadah moreh. Kali ini seramai lima orang imam bergilir ganti mengimamkan solat tarawih; Imam Hazri, Ustaz Nawawi, Samsuri, Haji Yahya dan Hj Sulur.

Surau kita pula bercat baru yang lebih ceria dan cantik, temboknya. Terima kasih keapda semua yang bergotong royong, tukang catnya En Aziz (Botak) yang tekun dan teliti mengecat.

Moreh kali ini juga nampak meriah. Ramai jemaah solat dan mengimarahkan surau kita. Alhamdulillah.

Setiap petang kita berbuka puasa di surau dengan juadah ala kadar,s ebelum kita solat Maghrib berjemaah. Itu yang best. Ringkas dan mudah. Harap-harap selepas tu, tak lah pula cover banyak-banyak di rumah...

Bubur lambuk juga akan kita sediakan. Pak Rahman kata pada setiap Sabtu kita akan edarkan bubur lambuk kepada jemaah. Pastikan anda datang mengambil bubur lambuk pada Sabtu ini...

Ya Allah, ramhatilah kami semua jemaah di surau ini, di taman ini dan di tempat ini... Kami sayang jemaah kami, kami sayang saudara seagama kami...