Monday, March 26, 2012

Thursday, March 22, 2012

Hati masih tergamit

Ya Allah, hati ini masih tergamit untuk kesana lagi. Air mata masih mengalir. Rindu aku kepada masjid yang Engkau muliakan Ya, Allah.

Kau saksikanlah sendiri bagaimana manusia berhimpun di masjid-masjid Mu. Ada yang kaya datang bersedekah, yang miskin tidur di kaki lima, di dataran masjid waima di bangunan tandas sekadar beralaskan kotak malah beralaskan kain ihram sahaja. Mereka berasak-asak untuk mendapatkan tempat di Raudah atau berhampiran kaabah Mu.

Ya Allah, kau saksikanlah bagaimana yang gagah berlari-lari, yang tua berkerusi roda, kanak dijulang di tengkok bapa, yang kudung mengunakan papan beroda dan menolaknya dengan tangan. Ya Allah, betapa hebatnya mereka yang berkumpulan, berdoa, bertasbih, bermunajat bertahmid secara serentak dengan penuh semangat. Ada yang tersungkur terus mati.  Ya Allah, kecilnya aku jika dibandingkan dengan kehebatan mereka. Lemahnya aku jika dibandingkan dengan kesungguhan mereka beribadat, kayanya aku jika dibandingkan dengan kedaifan mereka. Mereka semua datang atas jemputan Mu Ya Allah.

Ya Allah, janganlah kau jadikan jemputan itu sebagai jemputan terakhir buat diri ku. Kau lapangkan rezeki dan kesihatanku supaya aku boleh kesana lagi. Hati ini masih keras Ya Allah. Masih perlu belas kasihan Mu. Hati ini masih berdolak dalik. Hanya kau yang berhak dan berkuasa mengubahnya. Masih banyak lagi yang perlu aku bisikan di Raudah dan dihadapan Kaabah Mu. Ya Allah, ampuni dosaku. Kau jemputlah anak-anak dan rakan-rakan ku kesana Ya Allah. Biar mereka menyaksikan sendiri kebesaran Mu. Biar mereka lihat walau tiada sesaat, Kaabah dan Raudah itu kosong. Mereka semua merapak dan merendahkan diri kepada Mu. Allahuakbar.   -AGBR.