Tuesday, December 30, 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1430..

SALAM MAAL HIJRAH 1430

Salam Maal Hijrah 1430 kepada semua pembaca. Tahun baru hijrah menjengah lagi tanpa kita sedar; yang menggambarkan begitu pantas masa berlalu. Apa yang istimewanya Maal Hijrah kepada umat Islam selain mendapat sehari cuti rehat. Cuba kita fikirkan sejenak.

Kepada pemimpin tertinggi negara dan kaki tangan dari pejabat agama, mereka akan menghadiri tugas rasmi iaitu berarak dan mendengar ceramah agama. Pergi kerana ia adalah sebahagian tugas rasmi yang perlu disempurnakan. Kepada orang tertentu yang diraikan baik di peringkat negeri atau negara, acara sambutan Maal Hijrah diiringi dengan pengiktirafan Tokoh Maal Hijrah, secara tahunan. Sumbangan tokoh berkenaan, khasnya dalam bidang agama dan kemasyarakatan akan dinukilkan oleh media tempatan.

Di negeri Johor akan diadakan pula pemilihan masjid dan surau cemerlang; memberi pengiktirafan kepada masjid yang terbukti menyumbangkan khidmat kepada komuniti setempat. Namun, secara amnya, apakah signifikannya Maal Hijrah kepada kita?

Maal Hijrah disambut kerana mengenangkan sejarah perulangan perjuangan Baginda Muhammad s.a.w khasnya peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah membawa makna besar kepada kedaulatan dan kenegaraan Islam mutlak yang diasaskan oleh Baginda s.a.w.

Maal hijrah seharusnya menjadi pemangkin perubahan dalam diri kita ke arah mendaulatkan negara Islam dalam negara. Pendaulatan Islam dalam negara bermula dengan pengislahan dalam masyarakat (komuniti) dan ia berpunca dari pengislahan dalam keluarga, khasnya individu itu sendiri. Noktah awal mendaulatkan negara Islam bermula dengan setiap individu yang berada di dalam sesebuah rumah; yang dikembangkan kepada komuniti setempatnya dan membawa perubahan dalam negara.

Ringkasnya, Maal Hijrah membawa mesej besar kepada umat Islam ke arah membina sebuah negara Islam sebagai kewajipan kita dalam mentaati perintah Allah. Daulah Islam yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah; dan penjenamaan daulah Islam itu sebenarnya bermula dengan diri kita sendiri.

No comments:

Post a Comment