Tuesday, May 10, 2011

JAWATAN DAN AMANAH

Memegang jawatan adalah satu amanah. Jawatan imam juga adalah amanah yang berat untuk dipikul. Saya secara peribadi amat berat untuk memikul jawatan imam, untuk memastikan jemaah dan ahli kariah dipimpin ke jalan yang benar dan diberi peluang sebaiknya untuk beribadah. Tentunya berat beban amanah seperti ini.

Ada seperkara lain yang wajib ditimbangkan dalam soal memikul amanah. Jika jawatan itu diberikan kepada mereka yang layak, maka amanah itu akan dapat disempurnakan dengan sebaiknya. Begitulah sebaliknya. Makanya, tidaklah timbul soal perebutan jawatan di sini, hanya sebaik-baik pertimbangan ialah kepimpinan yang dipercayai dan dihormati oleh warga setempat, wajar diketengahkan sebagai pemiimpin.

Namun begitu, kita janganlah terlalu ideal dalam soal ini. Manusia tentunya tidak sempurna dalam semua perkara. Oleh sebab itu, setiap pemegang jawatan akan berusaha sebaiknya untuk menyempurnakan amanah yang diberi, biarpun ada sedikit kekurangan di sana sini. Jelasnya, usahlah kita perlihatkan kelemahan itu sebagai kesalahan yang tidak boleh dimaafkan. Maafkan dan perbaikilah seadanya.

Saya amat bersyukur dan gembira dengan pelantikan imam dan bilal baru untuk surau kita. Alhamdulillah kerana ia dibuat pada waktu yang tepat dan berpandukan pada pertimbangan yang wajar. Surau ini adalah surau kita, kita wajib bangunkannya bersama-sama. Ia bukan surau Pengerusi, ia bukan surau Pak Imam, tetapi ia adalah milik bersama. Marilah kita hayati semangat kekitaan ini dalam erti kata yang lebih luas.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah mengingatkan kita supaya jangan didambakan jawatan, usah ditagihkan kedudukan kerana jika ia terjadi, Allah akan bebankannya dengan perkara yang lebih berat. Sebaliknya jika amanah itu diberikan kepada kita tanpa kita memintanya, maka Allah akan bantu kita untuk menyempurnakan amanah berkenaan. Begitulah adanya. ANY

No comments:

Post a Comment