Sunday, July 3, 2011

SAUDARA KHAIRIL (DARI INDON)

Saudara Khairil sahabat kita yang selalu berjemaah di surau. Datangnya dari Indon, entah dari wilayah mana. Telah beberapa kali berulang alik bekerja di Malaysia hampir sepuluh tahun. Apa yang menariknya ialah beliau rajin datang berjemaah, berjalan kaki dan rajin pula bermasyarakat.




Dia ringan tulang, membantu jemaah lain kemas mengemas setelah majlis selesai. Boleh menjadi bilal apabila diperlukan. Malah dia juga mengisi slot 'tazkirah' selepas Subuh saban hari dengan membaca hadis-hadis fadilat amal beberapa kerat.



Selalunya tazkirah subuh (bacaan hadis rakan Tabligh kita) disampaikan Omar Zaki bergilir ganti dengan Haji Burhanudin. Haji Burhanudin akhirnya berpindah ke Bandar IOI, tempatnya diambil alih Sdr Khairil. Dan dia terlebih kerap membacanya saban hari. Suaranya lunak dan keras. Sesuai untuk tazkirah pagi-pagi untuk mengetuk pintu hati kami yang sering tertutup.



Kini Khairil tiada lagi, buat sementara. Majikannya membawanya bekerja di Kluang dan entah bila akan kembali semula ke Taman Yayasan.



Dua perkara yang menarik daripada kisah ini;



1. Orang yang baik, biasa berjemaah akan tetap datang berjemaah di masjid.



2. Orang yang ringan tulang, boleh berinteraksi dengan masyarakat, akan lebih mudah dikenali dan dihargai. (Ramai orang Malaysia kita yang tidak peduli masjid dan surau, tak peduli masyarakat dan ummah; lalu mereka juga tidak dikenali oleh masyarakat)



Seperkara lagi ialah sikap KETERBUKAAN ahli kariah, pengurusan dan jawatankuasanya menerima sesiapa sahaja berkhidmat dan berbakti di surau/masjid adalah perkara pokok. Khairil boleh azan bukan kerana tiada bilal, tetapi kita membenarkan jemaah yang sukarela untuk azan, berazan. Diapun gembira dapat berazan. Saya pernah dimaklumkan ada sesetengah masjid yang tidak membenarkan 'orang Indon' mengambil saf hadapan, atas alasan 'awak orang Indon'.. Masya-Allah, teruknya.



Kesediaan kita untuk menerima jemaah yang hadir, seperti yang selalu diceritakan Haji Toha; menjadi penambat hati jemaah untuk datang berjemaah.

(Artikel ini saya masukkan dalam blog ini sebelum membaca artikel isu yang sama yang ditulis AGBR sebelumnya) Terima kasih.. hati kita serupa..

No comments:

Post a Comment