Thursday, December 23, 2010

SESUKAR MANA MAHU MENGURUS KEJAYAAN SURAU?


Tidak terlalu sukar untuk mengurus sebuah surau dengan jemaahnya dalam lingkungan 400 - 500 orang. saling bekerjasama dan tidak membenci, iri hati dan cemburu menjadi asas dalam pengurusan sebuah masjid.

Jemaah suka kepada imam yang baik, saling hormat menghormati. Jemaah suka kepada Pengerusi dan pengurusan masjid yang ceria, terbuka dan telus. Jemaah mahu lihat berbagai aktiviti dianjurjayakan setiap bulan, setiap minggu.

Seperkara lagi, binalah kemesraan hubungan dalam kalangan jemaah. Saling bersapa dan bertanya khabar; baik yang muda mahupun yang tua. Kemesraan hubungan sesama kita membantu untuk mengimarahkan surau. percayalah, jemaah yang datang ke surau bukan kerana mahu solat semata-mata, mereka mahukan rakan dan kawan, mereka mahukan keindahan dalam perhunungan dan mereka mengharapkan keredaan Tuhan.

Saya percaya, jika semua jemaah saling menghargai (berikan senyuman dan bersalaman, bertanya khabar dan usik mengusik) jemaah berkenaan akan terus melekat di hatinya. Inilah tempatku! Usah diperkecilkan setiap jemaah yang datang ke surau. Masing-masing ada kelebihannya tersendiri.

(Foto; komentar seorang AJK lama yang pernah bertugas di TY. Saya tidak sempat bertemunya pada waktu itu)

Monday, November 15, 2010

SALAM AIDIL ADHA

SALAM AIDIL ADHA kepada semua jemaah dan pengunjung blog ini. Tingkatkan amal dan pengorbanan kita, moga sesuci Ibrahim dalam pengorbanan yang kita lakukan pada hari ini.. salam pengorbanan buat semua.

Thursday, November 4, 2010

KORBAN TAHUN INI..

Surau kita akan berkorban pada tahun ini dengan lapan ekor lembu.

Sidang jemaah dijemput hadir ke surau. Bergotong royong menyembelih, melapah dan mengagihkan daging berkenaan.

* Jemaah haji kita tahun ini kehujanan lebat di Mekah.. Semoga Allah anugerahkan kepada mereka haji yang mabrur, khasnya kepada En Ghani dan Puan Hasnah.

Friday, September 24, 2010

MARHABAN..



Marhabanpun bermula

Thursday, September 2, 2010

FOTO KHATAM QURAN DI SURAU





Majlis Khatam al-Quran dan berbuka puasa Surau Al-Muhajirin diadakan pada 28 Ogos lalu. Sambutan agak meriah dan tentunya makanannya sedap lagi enak.

Monday, August 23, 2010

MAJLIS KHATAM AL-QURAN

MAJLIS KHATAM AL-QURAN di surau kita akan diadakan pada hari Sabtu 28 Ogos 2010. Rewang memasak bermula dari awal pagi dan (makan tengah hari disediakan, he he)..

Kita sediakan nasi putih dengan lauk pauk ala kampung. Cencaluk dan sambal tentunya ada, masak lemak labu, kari daging dan ayam goreng berempah menjadi hidangan berbuka puasa.

Agenda majlisnya;

5.30 Khatam al-Quran dan doa/ tahlil

6.45 Penyampaian sumbangan kepada fakir miskin/ waris yang kematian/ elaun kepada imam, bilal, noja dan AJK surau

7.18 Berbuka puasa - makan ringan dulu

Solat Maghrib berjemaah

Makan malam...

Solat Isyak

Terawih dan bersurai..

SEMUA JEMAAH DAN AHLI KELUARGA DIJEMPUT BERBUKA PUASA DI SURAU KITA.

MAKLUMKAN KEPADA RAKAN DAN JIRAN TERDEKAT UNTUK MENGIMARAHKAN IBADAH DI BULAN RAMADAN.

MOREY BUBUR LAMBUK

Malam tadi giliran saya, Aslahudin, Kamal Najmi dan Ayub Jantan membawa juadah morey. Kami memasak bubur lambuk dengan tajaan Kamal Najmi menggunakan resepi Johor petua daripada Puan Maznah. Daun selasih kami dapatkan daripada Ayahanda Haji Khalid dan ada pula seseorang yang menghantar di depan pintu.. Rupanya Puan Farah ibu kepada Allahyarham Firdaus. Terima kasih.

Sempat juga kami agih-agihkan kepada rakan-rakan untuk juadah berbuka. Lama benar amalan bersedekah seperti ini kita panjangkan.

Encik Aslahuddin/Puan Maznah menyediakan juadah lontong dan YB Ayub (Pak Ayub) menyediakan pulut panggang. Itu menu utama morey di surau.

Malah banyak lagi kuih muih yang disedekahkan daripada pasar malam di Taman Yayasan yang boleh menjadi juadah kami. Nampak gaya surau kita berlebihan makanan pada setiap malam. Buah rambutan dan langsat sentiasa ada di atas meja. Syukur.

Tuesday, August 10, 2010

GOTONG ROYONG DI SURAU AHAD 8 OGOS

Ramai juga yang bergotong royong mendirikan khemah, membersihkan surau dalam dan luarnya, menggantung banner dan sebagainya. Yang cuci cermin tu Dr. Bazlan, yang cuci aircond En Wan Zul, Pegawai ukur Segamat, yang lain-lain tu semuanya orang hebat-hebat..

Soal gotong royong tak timbul isu siapa besar siapa kecil. Kita serupa. Dan tentunya serupa di sisi Allah atas apa jua kelebihan yang DIA anugerahkan.

Friday, August 6, 2010

SELAMAT BERPUASA

RAMADAN tiba lagi dengan membawa penuh keberkatan.

Sempena Ramadan ini, Koperasi Surau akan mengadakan jualan daging lembu RM18 sekilo. Sila tempah dan buat pembayarannya di surau sekarang. Hari Selasa nanti akan diedarkan daging berkenaan di surau, selepas Zohor.

Gotong royong membersihkan surau akan diadakan pada hari Ahad (8 Ogos) bermula jam 8.30 pagi. Khemah akan didirikan untuk kemudahan morey.

Giliran membawa juadah morey telahpun diedarkan. Kepada mereka yang tiada nama dalam senarai, bolehlah membawa bekalan pada bila-bila masa yang sesuai. Tak apa sekadar menyumbang ala kadarnya.

Giliran bertugas imam dan para bilal juga telah diedarkan. Boleh dirujuk pada papan kenyataan.

SALAM RAMADAN UNTUK SEMUA JEMAAH.

Tuesday, August 3, 2010

KEPTAN DATANG BERTAHLIL




Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah (Pendidikan) Cawangan Segamat mengadakan majlis Yasin dan tahlil di surau kita pada 2 Ogos 2010. Pengerusinya; Encik Mohd Eusop Indran menyatakan inilah pertama kali program seumpama ini diadakan di luar pejabat, khasnya di surau. Beliau juga merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak surau atas kerjasama yang diberi..

Pihak surau juga amat bertuah kerana dapat menghidupkan aktiviti seperti ini di samping dapat menambahkan lagi kenalan dan rakan jemaah kita. Terima kasih semua.

FOTO PROF MKI DI SURAU



Tuesday, July 27, 2010

GANTIKAN ALHAMDULILLAH PADA 'MUJUR' & 'BERNASIB BAIK'

Sering sahaja kita berkata; 'aku bernasib baik; mujur dia tak pergi; mujur tak hujan hari ini' dan rangkaian perkataan seumpamanya. Kata-kata ini tidak memberi apa-apa makna kepada orang Melayu kerana itulah bahasa orang Melayu yang dipakai hari-hari. Itulah lidah dan budaya orang Melayu.

Namun apabila diperhalusi, ada sesuatu yang tertinggal pada ungkapan kata seperti itu. Ia seakan menghilangkan 'kuasa Allah', Tuhan yang menentukan qada dan qadar alam buana ini. Kita percaya bahawa semua ketetapan, perlakuan dan peristiwa berlaku dengan izin-Nya jua.

"Tidaklah kamu merejam (atau melontar) ketika berlakunya perejamam itu, melainkan Akulah (Allah) yang merejamnya." (Al-Anfal: 17)

Perlakuan makhluk diizinkan berlaku atas ketetapan Khalik (Allah Pencipta). Namun manusia perlu bertindak, perlu berusaha untuk menentukan kejayaan dalam tindakannya. Mengatakan 'bernasib baik' atau 'mujur' perlu dinisbahkan dengan Allah SWT; maka tentulah yang terlebih baik digantikan dengan kalimah; ALHAMDULILLAH.

"ALHAMDULILLAH tak jadi hujan, Alhamdulillah dia tak pergi, Alhamdulillah dia bernasib baik (ataupun memadai, Alhamdulillah sahaja!)Alhamdulillah pada takdir Allah begitu dan begini.

(Ini antara kupasan saya dari ceramah Prof MKI yang saya dapat jelmakan di sini. Terima kasih Allah, terima kasih Prof dan terima kasih semua)

Wednesday, July 21, 2010

PROF DR HJ MUHD KAMIL IBRAHIM DI SURAU KITA

Insya-Allah, doakan semoga ia berjalan dengan lancar. Kita menjemput Prof MKI untuk berceramah di surau kita pada;

Hari Isnin (malam Selasa)
Selepas Solat Maghrib
26 Julai 2010

Bersempena dengan Ramadan yang akan datang, dengan himbauan rahmat dan kasih sayang Allah untuk kita lestarikan iman dan amal.

Temui Prof MKI, tokoh yang selalu muncul di Astro Awani, muncul juga di TV9 dan RTM, penulis buku best seller; Travellog Haji (500 ribu naskah terjual), dengan pendekatan baru untuk kita beramal.

*Jemaah dijemput membawa kuih sepiring untuk kita makan beramai-ramai.

Semua pelayar blog juga dijemput..

Tuesday, July 13, 2010

LADY GAGA, MARIAH CAREY & CELINE DION TURUT SOLAT BERJEMAAH

Menarik. Bukan sahaja jemaah biasa-biasa, malah Lady Gaga, Mariah Carey dan Celine Dion turut solat berjemaah di masjid dan surau. Bukan solat betul-betul, hanya kadang kala terdengar nada dering (handphone) artis berkenaan yang turut solat berjemaah.

Seronok pun ada, tak suka pun ada.. Bayangkan tengah kita solat; bersendirian atau berjemaah, tiba-tiba kedengaran bunyi lagu 'My heart will go on', alangkah tragisnya solat kita. Mahu diikutkan sama nyanyian lagunya atau mahu diteruskan bacaan yang sepatutnya dibaca? Atau barangkali baca dan ikut serentak! kan kita orang hebat!

Rumusannya, eloklah dimatikan handphone ketika masuk ke surau atau masjid, dan lebih baik kalau nada deringannya hanya yang biasa-biasa sahaja.. Kalau terbunyipun, tidaklah janggal sangat.. Manakan tidak Lady Gaga sedang solat berjemaah!

Wednesday, July 7, 2010

ISRAK MIKRAJ DI SURAU AL-MUHAJIRIN, TY

9 Julai 2010 (Jumaat malam Sabtu) akan kita adakan ceramah Israk Mikraj dan menjemput Ustaz Mohd Zainudin Mustafa (UiTM) sebagai penceramah. Majlis ini ringkas sahaja, selepas Maghrib diadakan ceramah. Dan makan-makan selepas Isyak.

Seperti tahun-tahun lalu, kita buat nasi ambeng ala Taman Yayasan. Lauk pauk dimasak di rumah masing-masing; ada yang masak sayur, ada yang sediakan ayam, ada yang sediakan serunding dan berbagai lagi. Lalu di bawa ke surau dan dimakan beramai-ramai. Meriah jadinya.

Namun kali ini kemeriahannya berganda. Manakan tidak, dari program yang simple berubah menjadi majlis besar. Ada hamba Allah yang sudi memberikan dua ekor kambing untuk dimasak. Nampak gaya Ayahanda Hj Khalid sudahpun bersedia untuk memasak rendang kambing yang akan dimakan dengan nasi ambeng.

Itulah rezeki, itulah ketentuan Allah. Percayakah kita?

Dijemput ahli jemaah, ahli kariah surau al-Muhajirin ke majlis ini. Datanglah bersama ahli keluarga. Rakan pembaca blog juga dijemput hadir dan menikmati juadah kami..