Tuesday, July 28, 2009

KOPI JANDA DAN KOPI JANTAN

Tiba-tiba isu 'kopi janda' dan 'kopi jantan' menjadi buah mulut jemaah surau. Banyak yang menarik dan masing-masing berangan mahukan kopi janda yang sedap dan segar kelihatannya. Ia bermula apabila majlis tahlil arwah di sebuah rumah, yang dihindangkan kopi yang segar dan sedap rasanya.. lalu ramai yang bertanya, kopi apa ni, kopi jantan atau kopi janda..

Spontan seorang jemaah (Hj M) menyebut 'Kopi Janda' yang kebetulan ia disediakan oleh seorang j. Maka berlarutanlah 'kopi janda' menjadi kegilaan dan gurauan rakan-rakan jemaah.

'Malam ini kita ada tahlil kat rumah kopi janda... dan ramai yang nak pergi..."

Monday, July 20, 2009

LAGI KEMATIAN...

Malam tadi saya dikejutkan loceng rumah berdenting kira-kira jam 12.30 malam. Sdr Suhaimi memaklumkan ada kematian di Astaka Jaya dan meminta saya menguruskan jenazah apa yang sepatutnya.

Saudara M. Zaibullah kembali ke rahmatullah jam 11.30 tadi baru berusia 42 tahun meninggalkan isteri dan tiga orang anak. Pihak hostipal telah membuat pemeriksaan dan pihak polis juga datang membuat pemerksaan lengkap.

Jenazah akan dikebumikan jam 10 pagi (hari ini) namun kerana persiapan kubur tidak dapat dipercepatkan, ia akan dikembumikan selepas Zohor nanti.

Perjalanan ini berakhir dengan satu noktah; MATI.

SAMBUTAN MERIAH ISRAK MIKRAJ DI SURAU

20 Julai, majlis Israk Mikraj di Surau Al-Muhajirin disambut meriah dengan jemaah yang melimpah dan sesi ceramah yang menyentuh rasa hati dan titis iman. Tahniah.

Ceramah Ustaz Muhd Zainuddin Mustafa dari CITU, UiTM Johor dirasakan amat menarik dan memakukan pedengar mengikuti setiap patah katanya. Syukur kerana sentuhan beliau menusuk kalbu dan diharapkan ada jiwa yang terjernih atas bingkisan iman sepertinya.

Nasi ambang yang menjadi tradisi Israk Mikraj juga amat enak rasanya. Serunding, sayur, mi, ikan masin, buah-buahan, air, petai dan banyak lagi terhidang dalam dulang dan amat menyelerakan kami. Nasi seperiuk habis dimakan dan dibawa pulang. Terima kasih kepada penyumbang dan pemasak kali ini; kami memasak di rumah masing-masing; ada yang masak sayur, ada yang serunding, ada yang berikan kuih muih dan akhirnya digabungkan ke dalam dulang.. menjadi makanan yang enak sekali.

Kerjasama ahli kariah nampak terlalu intim dan saling bantu membantu. Haji Hasan, En Dasli, En Talib dan ramai lagi yang sibuk menguruskan makanan seawalnya bagi memastikan perjalanan majlis berjalan lancar.

Tahniah dan terima kasih buat semua. Semoga ikatan persahabatan kita bertambah baik dan Allah satukan hati-hati kita atas dasar iman dan takwa.

Monday, July 13, 2009

ISRAK MIKRAJ DI SURAU TAMAN YAYASAN

Sambutan israk mikraj di Surau Al-Muhajirin, Taman Yayasan akan diadakan pada 20 Julai 2009 (Isnin) dengan ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Zainuddin dari UiTM Johor.

Ceramah bermula selepas solat Maghrib dan selepas solat Isyak akan diadakan jamuan nasi ambang. Seperti biasa, jemaah kita di TY berpakat untuk memasak nasi ambang dengan sumbangan masing-masing. Ada yang menyumbang beras (En Fauzi, Pasar Mini Bistari), ayam (En Fauzi Ahmad), buah-buahan (Hj Hafiz), air (?), Serunding kelapa (Cikgu Ramlee), sayur campur (Us Nawawi), ikan masin goreng (En Samsuri), dan banyak lagi bahan-bahan yang disumbangkan. Walhasilnya bahan ini disatukan dalam dulang dan dimakan beramai-ramai. Indah dan cantik konsepnya.

Kepada semua jemaah, dipersilakan datang ke Surau kita pada Isnin (20 Julai) ini dan rasaikan keenakan nasi ambang dan santapan rohani seorang ustaz muda. (ANY)

GUNDAH DIULIK LARA

Lara hati
mati
digerek dalik dolak naluri
pada taat dan lebih taat
mahu taat pada sunat
mahu lupa pada sunat
Rejab.

Lara hati
mati
dolak dalik naluri
restu Ilahi
Rabbi
pasak tekad
akhirnya pada taat
sunat Rejab

Ah, lega pada reda-Mu.


(ANY)

BERKOMPANG ADA FALSAFAHNYA

Bermain kompang ada falsafahnya sendiri.

Pertama, ia perlu berjemaah (berkumpulan) kerana pukulan semua orang adalah sama hanya menimbulkan rentak memerlukan ramai orangnya. Kompang adalah kesatuan, kesepaduan, keserasian dan komitmen.

Kedua, kompang mengajar erti kesabaran dan kelangsungan. Sabar mendidik diri dari menyalahkan orang lain semata, kelangsungan pada setiap pukulan agar tidak menjadi laju atau kelewatan. Setiap pukulan membawa rentak yang boleh menjadi sedap didengar atau sebaliknya.

Ahad lalu, saya rasa puas apabila anak-anak telah 'tahu' bermian dengan lebih baik pada satu relly yang panjang. Terima kasih En Ghani yang mengajarin anak-anak kami di TY. (ANY)

Wednesday, July 1, 2009

Berhati sepi.

Orang tua di tepi kuburan

hati Kekasih yang telah mati.

Mengapai sejarah silam

Ketika  hayatnya masih hidup

Mengkaguminya,

Dia sungguh hebat.

 

Orang tua di tepi kuburan,

Bermuhasabah diri,

Suaranya tersekat,

Gigi dan tulang yang rapuh,

Kulit yang berduri.

 

Ketika nazak, Kekasih berkata;

Ia lakukan hanya kerana Allah.

Bukankah hati dan perbuatan mesti bersatu?

 

Orang tua di tepi kuburan,

Dengusnya telah tidak kedengaran lagi

Oleh Kekasih,

Hatinya telah mati.

 

Orang tua di tepi kuburan

berhati sepi.

 

 

Agbr47.

 

Monday, June 29, 2009

KOMPANG; JANGAN HANGAT-HANGAT TAHI AYAM..


Makan manggis, kundang, durian dan roti cicah sup.. bersarapan pagi.

Mungkin Zaim dan Atifi perlu mengingatkan rakan-rakan mereka supaya hadir pada sesi latihan yang diadakan pada setiap Ahad pagi. En Ghani sanggup mengorbankan masanya setiap minggu bersama anak-anak, yang bukan sahaja kompang malah berzanji juga turut diselitkan.

KOPERASI MASJID ALMUHAJIRIN TAMAN YAYASAN

Bergambar kenangan: En Abd Rahman, Haji Abd Manan, En Idris, Us Ahmad Nawawi, YB Dato' Zainal Abidin (EXCO Agama), Dato' Mangsor Saad (Pengerusi Eksekutif SKM) dan Haji Sulaiman Sujak, Pengerusi Masjid BBU




27 Jun, Surau Al-Muhajirin dengan rasminya mendapat Sijil Pendaftaran penubuhan Koperasi Masjid AlMuhajirin Taman Yayasan Buluh Kasap Segamat Bhd yang disampaikan oleh EXCO Agama Negeri Johor; Dato' Haji Zainal Abidin Osman di Masjid Bandar Baru UDA.

Wakil Surau kita yang hadir ialah En Abd Rahman Mohd, En Ghani Rahmat, Haji Manan, En Idris Tohiran dan Ustaz Ahmad Nawawi. Banyak perkara yang boleh dibangunkan melalui Koperasi termasuklah pembelian aset tanah, kedai, rumah dan sebagainya. Kita tunggu dahulu mesyuarat pertama penubuhan Koperasi oleh Lembaga Pengarahnya.
Semoga keutuhan ekonomi umat Islam sekitar TY akan berjaya dibangunkan.

Wednesday, June 24, 2009

AYAHANDA HAJI KHALID (BIODATA RINGKAS)


Biodata Ayahanda Haji Khalid Hasan

Lahir pada tahun 1935 (74 tahun) yang berasal dari Pontian. Ketika emak dan ayahnya bercerai, mereka berpindah ke Pontian. Bersekolah awalnya di Pontian sehingga darjah empat. Kemudian berpindah ke Segamat dan menyambung pengajiannya dalam darjah empat pada tahun 1947.

Selanjutnya, beliau belajar di Sekolah Inggeri; Special Malay Class One (Sekolah Tinggi Segamat sekarang) yang dikhaskan utk pelajar Melayu. Belajar selama 3 tahun sampai ke Class Junior Cambrage (Standrad Eight).

Keluarga Haji Khalid tinggal di Seberang Stesyen, berhampiran Surau Berata, pada ketika itu.

Setelah tamat pengajian, pada 1956, dia berpeluang bekerja sebagai junior tecnichian, JKR Segamat dengan gaji permulaan RM100.00. Selain tugas hakiki, dia berpengalaman mengecap kain dan mencorak batik membantu perusahaan keluarga.

Pada 1959, mendirikan rumahtangga dengan Zainab Uda dan mereka tinggal di Batu Dua, sebelum berpindah pula ke Berata, berhadapan Kubur Berata selama 5 tahun. Mereka diberikan rumah kerajaan dan tinggal di Jalan Arshad, Segamat. Lama tinggal di sini sebelum menetap di banglo perdana, Segamat Jaya pada tahun 1989. Segamat Jaya pada asalnya dikenali dengan nama Gunung Tahan.

Oleh kerana isterinya Hajah Zainab pandai memasak, mereka mula-mula berjinak memasak dengan rakan kongsi di Jalan Arshad sehinggalah menubuhkan sendiri kontrak masak bagi majlis keraian. Bonda minat memasak, dan menjadi tukang masak sejak dari kecil lagi. Suka menjahit dan pernah menjadi tukang jahit.

BONDA HAJAH ZAINAB (BIODATA)


Biodata ringkas:
Dilahirkan pada 9 September 1940 (69 tahun) di Sepinang, Segamat. Bapanya, Uda berasal dari Kg Serambi, Pekan, Pahang dan ibunya; Puan Pah binti Ahmad dari tempat yang sama yang berhijah ke Segamat selepas berkahwin. (Tarikh lahirnya sama dengan tarikh lahir saya, ANY)

Sewaktu kecil bonda Hajah Zainab bersekolah pada umur 8 tahun (1948) di bandar Segamat, namun kerana masalah keluarga, persekolahan terpaksa ditangguhkan sementara. Pada tahun 1951, ketika berusia 11 tahun, dia bersekolah di Sekolah Melayu Segamat yang terletak di bandar segamat yang sekarang ini dijadikan Pejabat Pelajaran Daerah Segamat, berhadapan pejabat pos.

Pada tahun 1953, sekolah itu berpindah ke Sekolah Tengku Abdul Rahman di Jalan Hasan, dengan bangunan yang lebih besar. Tapak lama dijadikan sekolah agama sahaja.

Bonda bersekolah sehingga tamat darjah lima kerana bapanya sakit. Dia juga bersekolah agama di Bandar Segamat sehingga tamat darjah 6, dan mengikuti Darjah Khas di Sekolah Temenggung Abdul Rahman pada setiap hari sabtu.

Dalam keluarga, mereka pernah berpindah ke Selumpur kerana berladang/ kebun getah dan dusun di sana. Namun pada zaman darurat (1951) mereka kembali menetap di Segamat.

Bonda adalah anak ke tiga daripada empat orang adik beradik. Pertama dan kedua, Husin dan Hasan yang telah meninggal dunia, dan yang keempat Yunus masih ada di Batu Dua, Segamat.

Berkahwin dengan pilihan keluarga seorang jejaka tampan Khalid bin Hasan pada 20 Ogos 1959 ketika berumur 19 tahun dengan hantaran RM250 (harga sekor lembu RM120 pada waktu itu) dan dianugerahkan empat orang cahaya mata. Suaminya bekerja sebagai juruteknik JKR. Anak-anak mereka;

1. Baharudin, Pembantu teknik di Universiti Malaya, 3 anak
2. Bahariah, pelukis pelan 3 anak di Segamat Baru. Tinggal di Jalan Arshad, Segamat
3. Bahari, di Johor Bahru bahagian Bangunan; kelulusan diploma dalam Building Construction, dengan dua orang anak
4. Atifah, tinggal di Bangi. Seorang jurutera komputer di MIMOS, Bukit Jalil. Lulusan England. Memiliki seorang anak.

KESIHATAN AYAHANDA DAN BONDA

Ayahanda Hji Khalid

Risau benar melihat kesihatan Ayahanda Haji Khalid dan Bonda Hjh Zainab yang semakin menurun. Pada usia lewat 80an, tentunya keadaan fizikalnya tidak mampu berdiri segagah dahulu, dengan antibodinya yang semakin berkurangan; dan amat menyentuh apabila mereka tinggal berdua di rumah agam Segamat Jaya.

Ayahanda dan bonda terlalu banyak menabur bakti kepada kami di Taman Yayasan. Dialah ketua tukang masak, juru runding pembelian keperluan kenduri kendara, imam gantian dan yang paling utama, dialah 'orang tua' yang kami boleh berpayung di bawahnya. Tentunya Ayahanda menjadi lambang penghormatan dan kesatuan kami. Sebagai orang tua, sesekali tegurannya sudah cukup untuk kami mengerti, membetulkan apa yang salah dan silap.

Namun hebatnya ayahanda kerana dia boleh dibawa bergurau. Kadang kala usikan kami ini luar biasa, namun dia sedia menerimanya. Dan jangan terkejut jika usikannya juga menceriakan kami sekeluarga di TY..

Penyakit gaut dan sendi-sendi tidak menghalangnya untuk bertongkat datang ke surau, dan siapa lagi yang tidak teruja melihat ketulusan wajahnya yang tidak pernah merungut itu dan ini. Soal anak-anaknya sendiri, tidak pernah kami dengar rintihannya.. Begitulah ayahanda kami yang kami sayang.

JENTAYU

Entah kenapa di pagi sepi ini
Air mata menitis
Ada kursi dibiarkan kosong, sepi?
Bagaimana dapat dilupa,
Kau pimpin aku di subuh dan malam hari
Meniti ayat-ayat Allah,
tiba-tiba engkau berhenti,
Dan berkata ,“berjalanlah sendiri”.

Aku kebingungan dan hampa
bagai nabi terputus wahyu.

Adik-adik,
Engkau ketawa bergurau mesra
Selepas itu dibiarkan dia sepi?
Bukankah kunjungan mu seminit cuma
Sekadar bertanya apa khabar?
Menjadi penawar penghilang derita!

Patah sayap betongkat,paruh.
Patah paruh betongkat dagu
patah dagu,bertongkat siku,
patah siku bertongkat kuku.

Siapa dari kita yang lebih kuat dari Jentayu;
Ramadhan mendatang
Apakah aku akan berdiri lagi di belakang mu?

(AGBR)

Tuesday, June 23, 2009

1 REJAB

Esok bermulalah bulan Rejab, bulan baru yang membawa makna kepada kita. Lagi dua bulan Ramadan akan tiba. Rasanya eloklah kalau kita mulakan Rejab ini dengan berpuasa sunat.
Sudah lama juga tidak berpuasa sunat, dan eloklah kalau Rejab ini dapat menyemarakkan kembali semangat puasa yang kian pudar.

Selamat berpuasa sunat..

Tuesday, June 16, 2009

KITA ADALAH HAMBA...

Kita hamba Tuhan Rabbul Jalil
tinggi rendah
derapan langkah
tetap berpijak di bumi Allah

Kita hamba Tuhan
sekelumit ruang memayungi diri
secebis warna melakar layar

Kita kekal hamba
pada-Nya Rabbi

(Terima kasih atas coretan AGBR, yang sesungguhnya saya banyak belajar erti sabar, sangka baik, tekun, tulus daripadanya, sesungguhnya!)