Wednesday, June 24, 2009

KESIHATAN AYAHANDA DAN BONDA

Ayahanda Hji Khalid

Risau benar melihat kesihatan Ayahanda Haji Khalid dan Bonda Hjh Zainab yang semakin menurun. Pada usia lewat 80an, tentunya keadaan fizikalnya tidak mampu berdiri segagah dahulu, dengan antibodinya yang semakin berkurangan; dan amat menyentuh apabila mereka tinggal berdua di rumah agam Segamat Jaya.

Ayahanda dan bonda terlalu banyak menabur bakti kepada kami di Taman Yayasan. Dialah ketua tukang masak, juru runding pembelian keperluan kenduri kendara, imam gantian dan yang paling utama, dialah 'orang tua' yang kami boleh berpayung di bawahnya. Tentunya Ayahanda menjadi lambang penghormatan dan kesatuan kami. Sebagai orang tua, sesekali tegurannya sudah cukup untuk kami mengerti, membetulkan apa yang salah dan silap.

Namun hebatnya ayahanda kerana dia boleh dibawa bergurau. Kadang kala usikan kami ini luar biasa, namun dia sedia menerimanya. Dan jangan terkejut jika usikannya juga menceriakan kami sekeluarga di TY..

Penyakit gaut dan sendi-sendi tidak menghalangnya untuk bertongkat datang ke surau, dan siapa lagi yang tidak teruja melihat ketulusan wajahnya yang tidak pernah merungut itu dan ini. Soal anak-anaknya sendiri, tidak pernah kami dengar rintihannya.. Begitulah ayahanda kami yang kami sayang.

No comments:

Post a Comment